Ringgit Stabil Berbanding Dolar AS Menjelang Keputusan MPC

KUALA LUMPUR, 5 Mei — Ringgit dibuka hampir tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada penutupan semalam ketika pasaran menunggu keputusan terbahru daripada Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) dijadualkan diumum pada 7 Mei ini.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan itu berada pada paras 3.9540/9590 berbanding dolar AS pada paras 3.9540/9575 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata walaupun pasaran mengambil pendekatan tunggu dan lihat menjelang mesyuarat MPC, pertempuran di Teluk Parsi antara tentera Amerika Syarikat (AS) dan Iran berpotensi menjejaskan gencatan senjata.

“Ketegangan memuncak di Asia Barat mengakibatkan harga penanda aras minyak global, WTI dan minyak mentah Brent melonjak sebanyak 4.39 peratus dan 5.80 peratus masing-masing kepada AS$106.42 setong dan AS$114.44 setong.

Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 2.5151/5184 daripada 2.5186/5210 ketika ditutup semalam, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3498/3565 daripada 5.3612/3660 dan menambah berbanding euro kepada 4.6230/6289 daripada 4.6329/6370 sebelum itu.

Dalam pada itu, mata wang tempatan itu diniagakan tinggi berbanding mata wang negara ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0963/1005 daripada 3.1019/1049 ketika ditutup pada Isnin, menambah berbanding baht Thailand kepada 12.0740/0963 daripada 12.1460/1631, menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 227.3/227.6 daripada 227.3/227.6, bagaimanapun tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.42/6.43.