TMK Chemical Cadang Beli Pegangan Ekuiti Dalam CCM Daripada Batu Kawan Pada RM920 Juta

KUALA LUMPUR, 12 Jun — TMK Chemical Bhd bercadang untuk membeli 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Chemical Company of Malaysia Bhd (CCM), tidak termasuk aset tertentu, daripada Batu Kawan Bhd (BKB) pada harga pembelian indikatif RM920 juta.

TMK Chemical memaklumkan pihaknya telah mengeluarkan surat hasrat tidak terikat kepada BKB yang mengandungi butiran tawaran untuk mengambil alih CCM yang bebas hutang dan tiada lebihan tunai, termasuk keseluruhan kepentingan ekonomi dalam anak syarikat dan syarikat bersekutunya, kecuali aset tertentu yang meliputi sebuah syarikat bersekutu serta dua bidang tanah milik CCM.

“Lembaga pengarah juga mengumumkan bahawa syarikat telah menerima pernyataan setuju terima secara prinsip daripada BKB terhadap tawaran tidak terikat indikatif tersebut hari ini,” jelas syarikat pengkhususan bahan kimia bukan organik itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pembelian itu akan diselesaikan melalui gabungan pembayaran tunai serta penerbitan saham biasa baharu TMK Chemical pada harga RM1.9098 sesaham.

Syarikat itu menjelaskan harga terbitan tersebut ditentukan berdasarkan purata wajaran harga pasaran mengikut jumlah dagangan lima hari saham TMK Chemical yang didagangkan di Bursa Malaysia Securities Bhd setakat 31 Mei, 2026.

“Penerbitan saham baharu TMK Chemical dijangka mendorong BKB memegang sekurang-kurangnya 20 peratus daripada jumlah saham terbitan yang diperbesar dalam TMK Chemical,” tambahnya.

Saham TMK Chemical ditutup pada RM2.25 sesaham apabila turun empat sen atau 1.75 peratus hari ini.