KUALA LUMPUR, 24 April — Unit Eco World Development Group Bhd, Eco Business Park 6 Sdn Bhd menjual dua bidang tanah perindustrian di Kulai, Iskandar Malaysia, Johor kepada KNBDC Malaysia Five Sdn Bhd pada harga RM280.8 juta.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Datuk Chang Khim Wah berkata KNBDC yang membeli dua bidang tanah terakhir berkeluasan 20.07 hektar di taman perindustrian QUANTUM Edge itu akan menyertai Microsoft dan Princeton Digital Group, sekali gus menjadikan kawasan berkenaan antara hab digital dan teknologi tinggi terbesar yang dibangunkan oleh pemaju swasta di Malaysia.
Beliau berkata perkembangan itu mencerminkan keyakinan kukuh terhadap kesesuaian taman perniagaan syarikat itu sebagai lokasi ideal bagi operasi pusat data berskala besar serta daya tarikan berterusan Iskandar Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama bagi pelabur global dan serantau yang berprofil tinggi.
“Inisiatif berpandangan jauh oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan Johor yang disokong usaha menyeluruh untuk meningkatkan infrastruktur fizikal dan digital menarik pelaburan langsung domestik dan asing yang besar ke Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), lokasi terletaknya QUANTUM Edge.
“Pelaburan berskala besar ini telah mewujudkan ekosistem lengkap yang mengubah JS-SEZ menjadi hab digital dan teknologi tinggi bertaraf dunia, serta berupaya mengekalkan dan menarik minat berterusan daripada pemain pasaran utama,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Katanya urus niaga tersebut menyokong permulaan kukuh EcoWorld bagi tahun kewangan 2026, dengan 52 peratus daripada sasaran jualan tahunan kumpulan dicapai dalam tempoh empat bulan pertama tahun kewangan itu.
Dalam tempoh berkenaan, jualan perindustrian menyumbang 36 peratus kepada jumlah jualan terkumpul.
“Susulan jualan kepada KNBDC, jumlah jualan perindustrian bagi tahun kewangan 2026 dijangka terus meningkat, mencerminkan permintaan kukuh dan semakin berkembang terhadap produk perindustrian kumpulan di bawah jenama Eco Business Park dan QUANTUM, serta daya tahan berterusan segmen pasaran ini,” katanya.

















Tinggalkan Balasan