Wilayah Fergana Uzbekistan Tawar Insentif Cukai Sehingga 10 Tahun Kepada Pelabur Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 Jun — Wilayah Fergana di Uzbekistan menawarkan insentif cukai dan kastam sehingga 10 tahun bagi menarik pelaburan Malaysia dalam sektor pembuatan, farmaseutikal, pelancongan serta pemprosesan makanan, dalam usahanya untuk meletakkan wilayah itu sebagai pintu masuk ke pasaran Asia Tengah.

Gabenor Wilayah Fergana Khayrullo Bozorov berkata wilayah yang terletak di timur Uzbekistan dan dihuni lebih empat juta penduduk itu telah menyediakan infrastruktur industri moden serta persekitaran perniagaan yang kondusif untuk pelabur, termasuk tapak pengeluaran sedia ada di Zon Ekonomi Bebas Kokand, Taman Teknologi Kimia Fergana, Taman Teknologi Kokand, Zon Perindustrian Eltexsanoat dan beberapa zon industri kecil.

Beliau berkata pelabur akan diberikan insentif membabitkan cukai tanah, cukai hartanah, cukai keuntungan serta bayaran bagi penggunaan sumber air, selain terdapat juga mekanisme pembiayaan negara bagi infrastruktur kejuruteraan luaran dan utiliti untuk projek-projek pelaburan.

“Bergantung kepada saiz projek, insentif cukai dan kastam diberikan bagi tempoh antara tiga hingga 10 tahun,” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Bozorov berkata wilayah berkenaan melihat potensi kerjasama yang kukuh dengan syarikat-syarikat Malaysia dalam sektor termasuk tekstil, kejuruteraan elektrik, bahan binaan, pembuatan jentera, produk kimia dan petrokimia, pemprosesan pertanian serta pelancongan.

Beliau berkata antara kekuatan Fergana ialah sumber bahan mentah yang melimpah-ruah, tenaga kerja mahir, kedudukan geografi yang strategik dan pasaran pengguna yang besar.

“Kami bersedia untuk mempertimbangkan setiap inisiatif dengan teliti, melayan setiap pelabur sebagai rakan kongsi, dan memberikan sokongan yang diperlukan untuk kejayaan pelaksanaan setiap projek,” katanya.

Menyentuh mengenai hubungan dua hala, Bozorov berkata Uzbekistan dan Malaysia telah meningkatkan hubungan kepada Perkongsian Strategik semasa lawatan Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev ke Malaysia pada Februari tahun lepas, dengan lebih 40 projek bersama bernilai lebih US$5 bilion telah dipersetujui.

Beliau berkata sebanyak 42 perusahaan dengan modal dari Malaysia kini beroperasi di Uzbekistan dalam pelbagai sektor termasuk tekstil, tenaga, petrokimia, pemprosesan makanan, penjagaan kesihatan, perhotelan dan bahan binaan.

“Ini jelas menunjukkan peningkatan kepercayaan serta minat bersama antara komuniti perniagaan kedua-dua negara,” katanya.