25 Kapal Melalui Selat Hormuz Dalam Tempoh 24 Jam Lepas

TEHRAN, 27 Mei — Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pada Selasa berkata 25 kapal melalui Selat Hormuz dalam tempoh 24 jam lepas di bawah penyelarasan dan perlindungan keselamatannya, lapor Xinhua.

Dalam kenyataan yang disiarkan oleh saluran berita rasmi IRGC, Sepah News, Tentera Laut IRGC berkata kapal-kapal termasuk kapal tangki minyak, kapal kontena dan kapal komersial lain selamat melalui laluan perairan strategik itu selepas mendapat kebenaran.

Kenyataan itu menambah bahawa Tentera Laut IRGC “sedang melaksanakan kawalan pintar dengan tegas” ke atas Selat Hormuz, sambil memberi amaran bahawa sebarang “tindakan pencerobohan” akan dibalas dengan “tindak balas yang kuat dan menghancurkan.”

Iran mengetatkan kawalan ke atas selat itu mulai 28 Feb, apabila ia menghalang laluan selamat kapal milik atau yang mempunyai kaitan dengan Israel dan Amerika Syarikat (AS) susulan serangan ke atas wilayah Iran.

AS turut mengenakan sekatan laut ke atas selat itu, menghalang kapal yang bergerak ke dan dari pelabuhan Iran daripada melalui laluan perairan berkenaan.