29 Maut, 42 Cedera Dalam Serangan Udara Israel Di Selatan Lubnan

ISTANBUL, 1 Mei — Sekurang-kurangnya 29 orang,  terbunuh manakala 42 lagi cedera dalam serangan udara Israel ke atas beberapa bandar di selatan Lubnan pada Khamis, meskipun gencatan senjata sementara sedang berkuat kuasa, lapor Anadolu Ajansi memetik pihak berkuasa kesihatan dan media tempatan.

Agensi Berita Nasional (NNA) milik kerajaan melaporkan empat orang terbunuh dan sembilan lagi cedera dalam serangan di bandar Jibchit yang memusnahkan sebuah bangunan kediaman.

Di bandar Toul, empat orang terbunuh dan 11 lagi cedera, manakala sebuah lagi bangunan kediaman musnah.

Dua lagi maut di bandar Harouf selepas sebuah rumah dibedil pesawat Israel, menurut agensi itu.

Kementerian Kesihatan mengesahkan angka korban itu, dengan lima wanita dan dua kanak-kanak antara mangsa dalam tiga serangan berkenaan, manakala 23 lagi cedera termasuk tujuh wanita dan enam kanak-kanak.

Satu lagi serangan di Jibchit mengorbankan empat sekeluarga selepas rumah mereka dibedil dan musnah.

Dalam serangan berasingan di Toul, seorang terbunuh manakala dua lagi cedera, termasuk seorang kanak-kanak perempuan yang cedera parah, selepas sebuah rumah kediaman dibom.

Jet pejuang Israel turut mengebom bandar Zebdine, menyebabkan sekurang-kurangnya enam orang maut, menurut NNA.

Agensi berita itu juga melaporkan serangan Israel ke atas bandar Shaabiyeh di daerah Tyre mengorbankan dua orang dan mencederakan seorang lagi.

Dua lagi terbunuh dan seorang cedera dalam serangan udara Israel di Qana, Tyre.

Timbalan Datuk Bandar Jannata, Ahmed al-Husseini, turut terbunuh dalam serangan berasingan antara Maaroub dan Hmairi di Tyre.

Seorang bapa dan anak perempuannya juga maut dalam serangan udara Israel di bandar Alhenniya, menurut sumber sama.

Tentera Lubnan berkata seorang anggota tentera dan ahli keluarganya terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas rumah mereka di bandar Kfarreman, Nabatieh.

Kiraan Anadolu menunjukkan tentera Israel melancarkan 73 serangan udara dan bedilan artileri di Lubnan pada Khamis.

Pesawat perang Israel turut melancarkan serangan ke atas bandar Sultaniyeh, manakala bedilan artileri menyasarkan kawasan pinggir Zawtar al-Sharqiya dan Mifadoun.

Sejak 2 Mac, Israel melancarkan serangan maut ke atas Lubnan yang mengorbankan hampir 2,600 orang, mencederakan lebih 8,000 yang lain dan menyebabkan lebih 1.6 juta penduduk hilang tempat tinggal, menurut angka rasmi.