SEOUL, 6 Sept — Aduan pelancong di Korea Selatan mencatat rekod tertinggi tahun ini, dengan data yang dikeluarkan pada Ahad menunjukkan pelbagai masalah daripada pemanduan teksi secara berbahaya hingga mengenakan caj berlebihan di pusat beli-belah.
Sebanyak 1,753 aduan difailkan di seluruh negara antara Januari dan Julai tahun ini, mengatasi 1,744 kes yang dilaporkan sepanjang tahun lepas, lapor Agensi Berita Yonhap yang memetik data dikumpulkan Pertubuhan Pelancongan Korea (KTO).
Peningkatan jumlah aduan itu mencetuskan desakan supaya Korea Selatan mengambil langkah menambah baik perkhidmatan pelancongan, khususnya selepas pelancong asing mengadu mengenai caj pembatalan penginapan yang terlalu tinggi dan isu lain ketika acara besar seperti konsert kumpulan K-pop terkenal BTS.
Menurut data itu, jumlah aduan daripada pelancong asing menurun ketika pandemik COVID-19 tetapi meningkat secara berterusan sejak 2023 dan mencecah 1,744 tahun lepas, manakala jumlah bagi tahun ini sudah melepasi angka keseluruhan 2025 dalam tempoh hanya tujuh bulan.
Mengikut wilayah, Seoul merekodkan aduan tertinggi dengan 665 kes, diikuti bandar Busan di tenggara dengan 594, Incheon (176) dan pulau peranginan Jeju di selatan (155).
Busan yang menerima kira-kira 110,000 pengunjung sempena konsert jelajah dunia BTS pada Jun menyaksikan jumlah aduan meningkat lebih dua kali ganda berbanding 239 kes yang dilaporkan sepanjang tahun lepas.
Aduan paling banyak membabitkan penginapan dengan 500 kes, termasuk pembatalan tempahan secara sepihak dan caj pembatalan yang terlalu tinggi.
Layanan tidak mesra dan caj berlebihan di premis perniagaan berada di tempat kedua dengan 376 kes, diikuti perkhidmatan lapangan terbang dan syarikat penerbangan yang kurang memuaskan (186), manakala 182 lagi aduan membabitkan pemandu teksi yang enggan menggunakan meter atau memandu secara berbahaya.
Pelancong asing menyumbang 84.3 peratus daripada keseluruhan aduan, dengan warga China mencatat jumlah tertinggi sebanyak 680, diikuti warga Jepun (263) dan Taiwan (182).
Pakar menggesa kerajaan dan sektor swasta meningkatkan usaha bagi menambah baik tahap kepuasan pelancong untuk mengekalkan momentum pertumbuhan sektor pelancongan, selepas tahun ini mencatat kali pertama jumlah pelancong asing ke negara itu melepasi 10 juta sebelum berakhirnya separuh pertama tahun ini.
“Apabila jumlah pelancong meningkat dan industri pelancongan berkembang, aduan serta petunjuk negatif lain turut meningkat,” kata profesor pelancongan Universiti Kyung Hee Yoon Ji-hwan.
Yoon turut memberi amaran bahawa pengalaman negatif yang dikongsi menerusi media sosial boleh tersebar dengan pantas dan menjejaskan industri pelancongan.













Tinggalkan Balasan