Australia Kejutkan Turkiye 2-0 Hasil Taktik Bertahan Kemas, Serangan Balas Pantas

ISTANBUL, 14 Jun — Australia pada Ahad mengejutkan Turkiye 2-0 hasil corak pertahanan yang kemas dan taktikal serangan balas untuk mencatatkan kemenangan dalam perlawanan Kumpulan D Piala Dunia FIFA 2026 di BC Place, Vancouver, Kanada, lapor Anadolu Ajansi.

Australia mendahului perlawanan menerusi serangan balas pantas pada minit ke-27 melalui Nestory Irankunda, yang menghukum benteng pertahanan Turkiye yang terlalu terbuka dengan larian deras sekali gus menjadi pemain termuda menjaringkan gol untuk Australia di pentas Piala Dunia.

Walaupun Turkiye lebih banyak menguasai bola dan menyusun serangan dengan sabar, penguasaan berkenaan masih belum cukup untuk menghasilkan gol penyamaan pada babak pertama.

Separuh masa kedua bermula dengan corak sama apabila skuad Turkiye mempertingkatkan tekanan untuk menyamakan kedudukan, manakala Australia terus mencari peluang serangan balas bagi mengukuhkan kelebihan tipis mereka.

Connor Metcalfe menggandakan pendahuluan buat Australia pada minit ke-75 menggunakan taktikal yang sama, dengan Irankunda memanfaatkan serangan balas pantas untuk membantu menghasilkan gol berkenaan.

Barisan pertahanan lima pemain Australia berjaya menutup ruang di dalam kotak penalti daripada sebarang usaha Turkiye untuk menembusi gawang, yang terbukti sukar buat lawan. Skuad Turkiye menamatkan perlawanan dengan 28 percubaan tepat berbanding hanya lapan oleh Australia.

Keputusan itu menyaksikan Australia menduduki tempat kedua dalam carta kumpulan di belakang Amerika Syarikat, manakala Turkiye berada di kedudukan ketiga di atas Paraguay.