Bangladesh Mahu Pererat Hubungan Dengan ASEAN, Nyata Minat Sertai RCEP

YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa mesyuarat empat mata bersama Perdana Menteri Bangladesh Tarique Rahman di Perdana Putra, Putrajaya. 22 Jun 2026. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri. NO SALES; NO ARCHIVE; RESTRICTED TO EDITORIAL USE ONLY. NOTE TO EDITORS: This handout videos may only be used for editorial reporting purposes for the contemporaneous illustration of events, things or the people in the visual or facts mentioned in the caption. Reuse of the videos may require further

PUTRAJAYA, 22 Jun — Bangladesh berhasrat untuk mempererat lagi hubungan dan kerjasama dengan ASEAN, serta menyatakan minat menjadi Rakan Dialog Sektoral ASEAN, kata Perdana Menteri Tarique Rahman.

Bercakap pada sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini, Tarique berkata Bangladesh juga berminat menyertai Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

“Saya menghargai sokongan Malaysia terhadap usaha integrasi serantau Bangladesh,” katanya.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin itu menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Kebudayaan, serta dua pertukaran nota (EoN) berkaitan penyelidikan antikeganasan dan promosi serta pemudahcaraan pelaburan.

 Sementara itu, Tarique berkata Bangladesh berharap dapat meneruskan kerjasama rapat dan berterusan dengan Malaysia dalam pelbagai isu berkepentingan bersama.

Beliau berkata pemeteraian dan pertukaran MoU pada hari ini akan terus memperkukuh serta mengekalkan momentum positif dalam hubungan kedua-dua negara.

“Kami berharap dapat bekerjasama rapat ke arah kemakmuran bersama, keamanan serantau serta pembentukan sistem antarabangsa yang lebih inklusif,” katanya.

Rahman turut menyampaikan jemputan peribadi kepada Anwar dan isteri, untuk melawat Bangladesh, sambil menyatakan bahawa rakyat Bangladesh amat mengalu-alukan kehadiran mereka.

Pada 2025, jumlah perdagangan Malaysia dan Bangladesh mencecah RM12.18 bilion (USD2.84 bilion), dengan eksport Malaysia ke negara itu bernilai RM10.08 bilion (USD2.35 bilion), didominasi produk petroleum.

Import dari Bangladesh pula berjumlah RM2.10 bilion (USD500 juta), membabitkan tekstil, pakaian dan kasut.

Bangladesh merupakan rakan dagang ke-28 terbesar Malaysia di peringkat global, selain rakan dagang kedua terbesar negara di rantau Asia Selatan selepas India, termasuk sebagai destinasi eksport dan sumber import utama.