Bekalan Minyak Thailand Cukup Untuk 109 Hari Di Tengah-tengah Ketidaktentuan Global

BANGKOK, 17 April — Bekalan minyak Thailand kekal mencukupi untuk tempoh kira-kira 109 hari meskipun pasaran tenaga global sedang mengalami ketidaktentuan akibat ketegangan geopolitik di Asia Barat, menurut Kementerian Tenaga pada Jumaat.

Kementerian itu dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan bahawa simpanan negara terdiri daripada 25 hari stok berkanun, 24 hari rizab komersial, 38 hari minyak dalam transit dan 22 hari bekalan yang telah disahkan.

Menurut kenyataan itu, situasi tenaga global kekal tidak menentu susulan perkembangan geopolitik, termasuk persediaan bagi pusingan kedua rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran, serta gencatan senjata sementara antara Israel dan Lubnan.

Kementerian itu menjelaskan harga minyak melonjak pada 16 April berikutan kebimbangan terhadap bekalan, namun menurun sedikit pada 17 April susulan berita mengenai gencatan senjata dan harapan baharu terhadap rundingan itu.

Walaupun berlaku turun naik harga, kementerian itu memberi amaran bahawa risiko kekurangan bahan api tetap ada kerana sebarang perjanjian damai mungkin tidak akan menyelesaikan kekangan bekalan dengan serta-merta.

Sementara itu, Dana Bahan Api Minyak dianggarkan mengalami defisit sebanyak 61.7 bilion baht (RM7.6 bilion) setakat 17 April, dengan subsidi diesel harian berjumlah kira-kira 185.76 juta baht.