China, Singapura Komited Perkasa Kerjasama Segenap Aspek

Menteri Luar China, Wang Yi menerima kunjungan Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan di Beijing pada Isnin.

Dalam pertemuan itu, Wang berkata bahawa dalam tempoh setahun lalu, di bawah pimpinan strategik pemimpin kedua-dua negara serta usaha bersama, hubungan perkongsian berorientasikan masa depan seluruh aspek dan bermutu tinggi antara China dan Singapura terus menunjukkan momentum positif.

Beliau turut menyatakan bahawa China amat mementingkan perkembangan hubungan dengan Singapura, dan komited untuk terus memanfaatkan kelebihan hubungan kedua-dua negara selaras dengan perkembangan semasa.

Katanya lagi, China bersedia bersama-sama pihak Singapura untuk mengekalkan momentum pertukaran lawatan peringkat tinggi, memperkukuh kerjasama praktikal dalam pelbagai bidang, selain meningkatkan pertukaran rakyat-ke-rakyat.

Menurut Wang, tahun ini merupakan ulang tahun ke-5 hubungan perkongsian strategik komprehensif antara China dan ASEAN. 

Singapura merupakan anggota penting ASEAN dan akan menjadi pengerusi ASEAN pada tahun depan. China berharap Singapura akan terus memainkan peranan aktif dalam mempromosikan kerjasama China-ASEAN, kata Wang.

Sementara itu Dr Vivian Balakrishnan menyatakan bahawa Singapura dengan teguh berpegang pada prinsip satu China, di samping secara tegas menentang “kemerdekaan Taiwan”, dasar ini adalah kekal, konsisten dan tidak akan berubah. 

Katanya, Singapura tidak akan melakukan sebarang tindakan yang melanggar atau menjejaskan kepentingan China. 

Malah pihaknya memberi penghargaan tinggi terhadap pembangunan dan kebangkitan China melalui pembaharuan dan dasar pintu terbuka, serta sumbangannya dalam mengekalkan rantaian bekalan global dan perdagangan bebas. 

Beliau berkata, Singapura percaya bahawa China masih memiliki potensi pembangunan yang lebih besar pada masa depan.