Dron Bedil Blok Pangsapuri Di Romania Berhampiran Sempadan Ukraine, Dua Cedera

LONDON, 29 Mei — Sebuah dron terhempas ke atas sebuah bangunan kediaman di bandar tenggara Romania, Galati, berhampiran sempadan Ukraine, sekali gus mencederakan dua orang dan mencetuskan kebakaran, menurut pihak berkuasa pada Jumaat, lapor Agensi Anadolu.

Ibu Pejabat Am Pemeriksaan bagi Situasi Kecemasan Romania dalam satu hantaran di Facebook menyatakan bahawa dron itu melanggar blok pangsapuri di tingkat 10 dan sekitar 70 orang telah dipindahkan.

“Sepanjang malam antara 28 hingga 29 Mei, Rusia menyambung semula serangan dron ke atas sasaran awam dan infrastruktur di Ukraine, berhampiran sempadan sungai dengan Romania,” menurut Kementerian Luar negara itu.

Kementerian berkenaan menyatakan bahawa pergerakan dron itu dikesan oleh radar sebelum ia terhempas ke atas bangunan kediaman tersebut.

“Sebuah dron memasuki ruang udara Romania dan dikesan oleh radar menuju ke kawasan selatan bandar Galati, sebelum terhempas di atas bumbung sebuah blok rumah pangsa, dan impak tersebut disusuli dengan kebakaran,” menurut kenyataan itu.

Romania memaklumkan bahawa tentera udaranya telah bertindak balas selepas beberapa dron dikesan berhampiran ruang udaranya, sambil menambah bahawa pasukan kecemasan, polis dan perkhidmatan perisikan telah dihantar ke tempat kejadian.

Pihak berkuasa turut mengeluarkan amaran kecemasan kepada penduduk di daerah berhampiran di Tulcea dan Braila.

“Situasi semasa adalah dinamik, dan kami akan mengemas kini maklumat serta data rasmi sebaik sahaja ia diperoleh,” menurut kementerian itu.