PATTANI, 4 Jun — Dua lelaki dipercayai anggota kumpulan pemisah Barisan Revolusi Nasional (BRN) terbunuh dalam insiden berbalas tembakan dengan pihak berkuasa tempatan pada awal pagi Khamis.
Pusat Penerangan Kawalan Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) memaklumkan kedua-dua individu berkenaan, yang dikehendaki menerusi tiga waran tangkap, maut dalam kejadian di daerah Khok Pho pada kira-kira 5 pagi.
“Sejurus menerima maklumat risikan mengenai keberadaan anggota BRN terbabit, pihak berkuasa melancarkan operasi mengepung sebuah rumah yang dipercayai menjadi tempat persembunyian mereka.
“Sebelum tindakan diambil, pihak berkuasa telah berusaha memujuk individu yang berada di dalam rumah itu supaya menyerah diri, namun suspek bertindak melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan,” menurut unit itu dalam satu kenyataan pada Khamis.
ISOC 4 berkata pihak berkuasa berjaya memasuki rumah berkenaan selepas beberapa minit berbalas tembakan dan menemukan dua mayat lelaki bersama dua pucuk pistol yang dipercayai milik suspek serta sebutir bom buatan sendiri.
Menurut ISOC 4, seorang anggota renjer turut cedera dalam insiden tersebut.
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam beberapa serangan bom dan tembakan di wilayah Pattani dan Yala sejak kebelakangan ini.













Tinggalkan Balasan