JAKARTA, 4 Jun — Perdagangan dan pelaburan antara negara anggota ASEAN perlu dipertingkatkan bagi mengukuhkan daya tahan ekonomi serantau dalam menghadapi ketidaktentuan global, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan.
Beliau berkata perkara itu antara yang dibincangkan pada Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Kerjasama Dua Hala Malaysia-Indonesia (JCBC) Ke-17 bersama rakan sejawatannya, Sugiono yang berlangsung di sini pada Khamis.
Mohamad berkata pemimpin negara anggota ASEAN mahu melihat perdagangan intra-ASEAN terus dipertingkatkan memandangkan blok serantau itu masih banyak bergantung kepada perdagangan dengan negara di luar ASEAN.
“Hasrat pemimpin-pemimpin negara ASEAN mahu melihat supaya perdagangan intra-ASEAN ini dipertingkatkan. Kita banyak berdagang dengan negara di luar ASEAN.
“Perdagangan antara negara ASEAN ini tidak sampai 25 peratus. Bagaimana cara untuk kita mempertingkatkan perdagangan dan pelaburan sesama kita dalam ASEAN?” katanya pada sidang media bersama rakan sejawatnya selepas mesyuarat berkenaan.
Mohamad berkata ASEAN perlu mengambil iktibar daripada krisis yang berlaku di Asia Barat serta konflik antara Rusia dan Ukraine, yang menunjukkan kepentingan memperkukuh kerjasama ekonomi dalam kalangan negara anggota.
“Maka hasrat pemimpin ini perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin supaya perdagangan antara negara ASEAN dipertingkatkan dan yang mendapat kebaikannya nanti adalah rakyat kita,” katanya.
Beliau berkata perbincangan turut merangkumi usaha meningkatkan kesalinghubungan dan memudahkan pergerakan rakyat antara negara-negara ASEAN bagi memperkukuh integrasi serantau.













Tinggalkan Balasan