KUALA LUMPUR, 4 Jun — Jangkitan hantavirus akibat pendedahan kepada haiwan pengerat tidak boleh dipandang ringan, meskipun jangkitan itu bukan ancaman pandemik baharu, kata Pakar Perubatan dan Penyakit Berjangkit Pusat Perubatan Sunway Bandar Sunway (SMC) Dr Lee Kok Soon.
Beliau berkata hantavirus bukanlah penyakit baharu dan telah dikenali pada peringkat global, khususnya di beberapa bahagian Asia, Eropah dan Amerika apabila kes jangkitan terus dilaporkan setiap tahun.
“Walaupun kesedaran itu penting, pemahaman tentang bagaimana jangkitan ini sebenarnya merebak serta tahap risiko yang terlibat juga sama penting,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai wabak itu yang dikaitkan dengan sebuah kapal pelayaran sehingga menimbulkan kebimbangan, terutamanya selepas beberapa kematian dilaporkan serta penglibatan strain yang mampu merebak secara terhad antara manusia.
Dr Lee menjelaskan hantavirus boleh memberikan kesan berbeza kepada tubuh manusia mengikut strain tertentu, termasuk menyerang paru-paru dan sistem pernafasan atau mengakibatkan komplikasi buah pinggang sehingga membawa kepada demam berdarah dengan sindrom buah pinggang (HFRS).
Beliau berkata di Amerika, beberapa strain boleh menyebabkan Hantavirus Pulmonary Syndrome (HPS), iaitu keadaan serius apabila paru-paru dipenuhi cecair, manakala di Eropah dan Asia pula ia lebih dikaitkan dengan masalah pendarahan serta komplikasi buah pinggang.
Jangkitan lazimnya berlaku apabila manusia menghidu zarah halus daripada air kencing, air liur atau najis tikus dijangkiti yang tersebar di udara, selain melalui gigitan atau cakaran haiwan pengerat berkenaan.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyapu secara kering kawasan yang dicemari tikus seperti bangunan terbengkalai atau gudang berdebu bagi mengelakkan zarah berkenaan dihidu tanpa disedari.
“Sebaliknya, kawasan berkenaan perlu disembur terlebih dahulu dengan bahan pembasmi kuman, dibiarkan selama beberapa minit sebelum dibersihkan menggunakan kain lembap, di samping menggunakan sarung tangan serta pelitup muka semasa kerja pembersihan,” katanya.
Mengenai gejala, beliau berkata hantavirus sukar dikenali pada peringkat awal kerana simptomnya seperti demam, sakit badan, keletihan, loya atau pening menyerupai penyakit influenza, denggi, leptospirosis dan COVID-19.
“Sejarah pendedahan menjadi petunjuk penting terutamanya jika pesakit baru-baru ini berada di kawasan tercemar dengan tikus atau di ruang yang kurang pengudaraan,” katanya sambil menambah diagnosis disahkan melalui ujian khusus seperti PCR atau ujian antibodi.
Walaupun belum terdapat rawatan atau antiviral khusus, Dr Lee menekankan bahawa perhatian perubatan awal amat penting kerana penyakit itu boleh melarat dengan pantas sehingga memerlukan sokongan oksigen, rawatan rapi atau dialisis.
“Walaupun Malaysia tidak melaporkan sebarang wabak hantavirus setakat ini, perhatian global terhadap virus itu menjadi peringatan penting bahawa jangkitan bawaan haiwan pengerat tidak boleh dipandang remeh,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan persekitaran rumah bersih, menyimpan makanan dengan baik serta mengambil langkah berjaga-jaga tambahan ketika melakukan pembersihan khususnya selepas banjir atau kerja pengubahsuaian.
“Amalan pencegahan mudah dan kaedah pembersihan selamat boleh mengurangkan risiko pendedahan dengan ketara. Jika gejala menjadi teruk selepas terdedah kepada tikus, segera dapatkan rawatan perubatan,” katanya.

















Tinggalkan Balasan