Gempa Bumi: Malaysia Zahirkan Ucapan Takziah Kepada Filipina

PUTRAJAYA, 13 Jun — Malaysia menzahirkan ucapan takziah dan simpati yang amat mendalam kepada kerajaan serta rakyat Filipina susulan gempa bumi yang melanda kawasan luar perairan Sarangani di Selatan Mindanao pada Isnin lepas (8 Jun 2026).

Kementerian Luar yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan bahawa negara ini amat berdukacita atas kehilangan nyawa, kecederaan dan kehilangan tempat tinggal akibat bencana itu.

“Kerajaan dan rakyat Malaysia menzahirkan solidariti bersama rakyat Filipina mengharungi tempoh sukar yang penuh kedukaan, pemulihan, dan pembinaan semula ini,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata Malaysia juga bersedia menghulurkan bantuan sewajarnya kepada kerajaan Filipina sekiranya diperlukan bagi menyokong usaha bantuan kecemasan dan pemulihan yang sedang berjalan.

Malaysia turut menzahirkan penghargaan kepada pihak berkuasa Filipina yang telah menghulurkan bantuan kepada rakyat Malaysia di kawasan yang terlibat, termasuk rakyat Malaysia yang tinggal di General Santos City dan kawasan berhampiran.