GGI Pacu Pembaharuan Tadbir Urus Global Lebih Adil, Inklusif

Inisiatif Tadbir Urus Global (GGI) yang dicadangkan oleh China pada September tahun lepas dilihat sebagai mekanisme penting bagi memperkukuh suara negara Selatan Global, sekali gus memacu pembaharuan ke arah sistem tadbir urus antarabangsa yang lebih adil, demokratik dan inklusif.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Hipolitus Yolisandry Ringgi Wangge berkata pendekatan yang dibawa GGI dilihat sebagai respons terhadap ketidakpercayaan sebahagian negara Selatan Global terhadap sistem tadbir urus antarabangsa sedia ada.

“GGI antara lain bertujuan memberikan suara dan ruang penyertaan yang lebih besar kepada negara Selatan Global di peringkat multilateral, selain menawarkan visi alternatif ke arah aturan antarabangsa yang lebih demokratik dengan setiap negara menikmati perkongsian dan perwakilan yang setara dalam forum multilateral,” kata Hipolitus ketika ditemu bual wartawan Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini.

Beliau berkata prinsip-prinsip yang menjadi asas GGI turut menekankan pembaharuan dan transformasi terhadap sistem sedia ada, bukannya mewujudkan suatu aturan antarabangsa baharu bagi menggantikannya.

GGI menggunakan kata kunci “pembaharuan” yang merupakan aspek penting. 

Dalam konteks ini, pembaharuan itu bukan bermaksud menggantikan sistem sedia ada, sebaliknya memperkukuh aspek yang mempunyai kekurangan serta menangani kelemahan dalam forum multilateral global sedia ada,” katanya.

Menurut Hipolitus, GGI secara umumnya menerima sambutan positif daripada negara-negara Selatan Global.Hipolitus berkata memasuki tahun kedua pelaksanaannya, GGI perlu memberi tumpuan kepada kemandirian dan komitmen bersama bagi membolehkan negara-negara terlibat, khususnya dari Selatan Global memainkan peranan aktif, termasuk dalam tadbir urus kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan infrastruktur digital.

Pada masa yang sama, beliau berkata pelaksanaan GGI perludiselaraskan dengan mekanisme serantau sedia ada, termasuk yang dibangunkan ASEAN bagi mengelakkan pertindihan atau percanggahan, sekali gus memastikan mekanisme berkenaan saling melengkapi dan memberi manfaat yang lebih nyata kepada negara-negara terlibat.

GGI diperkenalkan oleh Presiden China Xi Jinping pada Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di Tianjin pada 1 September 2025 sebagai usaha menambah baik sistem tadbir urus global.Inisiatif itu berteraskan lima prinsip utama, iaitu kesaksamaan kedaulatan, kedaulatan undang-undang antarabangsa, multilateralisme, pendekatan berpusatkan rakyat serta penekanan terhadap tindakan nyata dan hasil yang berkesan.