Industri Kopi Kemboja Berdepan Tekanan Cuaca Panas, Ancaman El Nino

PHNOM PENH, 4 Sept — Industri kopi Kemboja yang bernilai US$200 juta (RM800 juta) berdepan ujian getir apabila keadaan El Nino yang kian meruncing mengancam hasil pengeluaran serta mata pencarian petani.

Susulan itu, Persatuan Kopi Kemboja menggesa petani berskala kecil supaya menambah baik pengurusan air dan sistem pengairan bagi melindungi tanaman serta memperkukuh daya tahan terhadap cuaca ekstrem.

Penanam kopi dengan sumber terhad merupakan golongan paling terdedah kepada risiko, memandangkan haba melampau dan cuaca tidak menentu menyebabkan tanaman kopi mereka, yang sensitif terhadap iklim, mengalami tekanan akibat haba dan kekurangan air.

“El Nino akan memberikan kesan kepada semua petani namun impaknya bergantung pada sejauh mana kesediaan mereka menghadapi keadaan cuaca tersebut.

“Mereka memerlukan sumber air dan sistem pengairan yang mencukupi, serta penggunaan biostimulan bagi membantu mencegah tekanan haba pada tanaman mereka,” kata presiden persatuan Piseth Duk kepada Bernama.

Kira-kira 600 petani bekerja keras dalam panas terik untuk menghasilkan sekitar 1,500 tan metrik biji kopi, yang sebahagian besarnya bagi memenuhi permintaan pasaran domestik yang semakin berkembang.

Menurut persatuan itu, kira-kira 90 peratus petani tempatan menanam biji kopi jenis Robusta dan selebihnya merangkumi jenis Arabica.

Pertubuhan Meteorologi Sedunia menyatakan pada Khamis, terdapat kebarangkalian hampir 100 peratus fenomena El Nino akan berterusan sehingga Februari 2027, sekali gus meningkatkan risiko banjir, kemarau dan cuaca panas melampau.

Kerajaan Kemboja menjangkakan fenomena El Nino akan bertambah kuat mulai Julai dan mencapai kemuncak pada November, yang akan memburukkan lagi keadaan cuaca panas serta tekanan kekurangan air.

Piseth, seorang petani kopi di wilayah Mondulkiri, berkata perubahan corak cuaca yang membawa kemarau teruk dan hujan berpanjangan telah menjejaskan tanamannya sejak 2023.

“Pada 2026, fenomena El Nino yang kuat membawa gelombang haba yang memberi tekanan pada tanaman kami dan memburukkan lagi keadaan kemarau. Kira-kira 30 peratus daripada pokok kopi yang baru saya tanam mati,” katanya.

Beliau berkata cuaca kering turut mencetuskan serangan serangga perosak seperti kutu sisik hijau dan kutu putih, sekali gus mengancam pokok serta hasil pengeluaran.

Mondulkiri muncul sebagai kawasan pengeluar kopi utama berkat kedudukannya di kawasan tanah tinggi dan iklim yang sesuai.

“Perubahan iklim sesuatu yang tidak dapat dielakkan namun jika kita mampu mengurangkan impaknya menerusi pengurusan ladang yang betul, hasil pengeluaran malah boleh meningkat walaupun semasa fenomena El Nino.

“Ia bergantung pada cara kita menguruskan sumber dan melindungi tanaman kopi tersebut,” kata pemilik Ladang Kopi Pida merangkap usahawan tani, Thida Phay, kepada Bernama.

Pengeluaran tahunan sebanyak kira-kira 1,500 tan masih jauh di bawah anggaran permintaan domestik sebanyak 20,000 tan, yang sekali gus menyerlahkan potensi pertumbuhan industri berkenaan.

Bagaimanapun, bagi merealisasikan potensi itu, kekangan teknikal dan kewangan yang dihadapi petani perlu ditangani memandangkan mereka berdepan isu peningkatan suhu serta cuaca tidak menentu.

“Mereka kekurangan pengetahuan, kemahiran teknikal serta kemahiran pengurusan pascapengeluaran dan kewangan yang diperlukan.

“Persatuan kami sedang menjalankan latihan untuk mengajar petani cara menguruskan ladang mereka. Dua aspek paling penting ialah sumber air dan pengairan,” kata Piseth.

Beliau berkata ladang yang diurus dengan baik mampu menghasilkan sehingga empat tan kopi sehektar, iaitu dua kali ganda berbanding purata hasil kira-kira dua tan.