SAN FRANCISCO, 4 Sept — Pengeluar cip Amerika Syarikat (AS) Nvidia bersetuju membeli platform pembangun kecerdasan buatan (AI) Hugging Face pada harga kira-kira US$12.93 bilion, umum pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia Jensen Huang pada Khamis, lapor Xinhua.
Huang menerusi catatan di blog syarikat berkata kedua-dua syarikat akan bekerjasama untuk memperluas skala platform Hugging Face, memperkukuh infrastrukturnya serta memperluas akses kepada AI bagi pembangun dan institusi di seluruh dunia.
Menurut beliau, Hugging Face akan kekal sebagai platform terbuka untuk seluruh ekosistem AI.
“Penggunaan sumber pengkomputeran NVIDIA tidak akan diwajibkan bagi pembangunan atau pelaksanaan menerusi Hugging Face,” kata Huang.
Beliau berkata Hugging Face akan terus menyokong model “open-source” dan “open-weight” daripada pelbagai pembangun model, selain pembangunan dan pelaksanaan menerusi pelbagai perkhidmatan awan serta pelbagai pemecut.
Menurut Huang, lebih 18 juta pembangun, penyelidik dan pencipta menggunakan Hugging Face yang berkongsi lebih tiga juta model, 500,000 set data dan satu juta aplikasi menerusi platform itu.
Lebih 200,000 syarikat menggunakan platform berkenaan untuk mencari, menilai, menyesuaikan dan melaksanakan AI.
Huang berkata infrastruktur, keupayaan kejuruteraan dan jangkauan global Nvidia boleh membantu meningkatkan kebolehpercayaan dan keselamatan platform Hugging Face serta keupayaan dalam penilaian model, inferens dan pelaksanaan, sambil mengekalkan ekosistem terbukanya.
Nvidia juga terus memperluas penglibatannya dalam model AI terbuka.
Huang berkata syarikat itu telah mengeluarkan lebih 500 model dan lebih 250 set data terbuka di Hugging Face, sambil menyifatkan Nvidia sebagai penyumbang terbesar model dan data terbuka kepada platform itu.
Hugging Face diasaskan oleh Clement Delangue, Julien Chaumond dan Thomas Wolf.













Tinggalkan Balasan