Hubungan Diplomatik Bakal Cecah 70 Tahun, Malaysia-Jepun Terus Perkukuh Persahabatan

KUALA LUMPUR, 15 Sept — Malaysia dan Jepun bakal mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang sekian lama terjalin, khususnya hubungan antara rakyat, apabila menyambut ulang tahun ke-70 ikatan diplomatik tahun depan.

Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Ahmad Rozian Abdul Ghani berkata persahabatan yang teguh dan berkekalan antara kedua-dua negara itu bertunjangkan kerjasama merentasi pelbagai bidang.

“Hubungan diplomatik yang diwujudkan pada 31 Ogos 1957, iaitu pada hari Malaysia mencapai kemerdekaan, merupakan pengertian sejarah yang unik buat hubungan Malaysia-Jepun,” katanya. 

Ahmad Rozian berkata demikian dalam ucapannya pada Sambutan Hari Kebangsaan anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo pada Isnin sempena meraikan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-69 dan Hari Malaysia.

Kira-kira 300 tetamu menghadiri majlis itu termasuk Menteri Luar Jepun Kunimitsu Ayano, anggota kerajaan Jepun, para pegawai diplomatik, komuniti perniagaan, serta organisasi dan komuniti Malaysia di Jepun.

Duta itu juga menekankan kepentingan memperkukuh hubungan rakyat dengan rakyat dan  mempertingkatkan lagi hubungan dua hala ketika Malaysia dan Jepun bakal menyambut ulang tahun ke-70 jalinan diplomatik tahun depan.

Sambutan itu turut menyerlahkan warisan budaya Malaysia yang kaya dan pelbagai, dengan makanan tradisional dan persembahan tarian kebudayaan.

Kemuncak acara ialah upacara memotong pulut kuning sekali gus menyerikan lagi sambutan dengan sentuhan adat.