Hubungan Ekonomi Malaysia-China Perlu Bawa Manfaat Melangkaui Pelaburan, Perdagangan

KUALA LUMPUR, 27 Nov — Malaysia perlu mengemudi fasa seterusnya kerjasama ekonomi dengan China agar melangkaui angka perdagangan dan pelaburan semata-mata, dengan memberikan tumpuan kepada pemindahan teknologi, pembangunan bakat tempatan serta pengintegrasian perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia ke dalam rantaian nilai serantau dan global.

Bekas Duta Besar Malaysia ke China Datuk Abdul Majid Ahmad Khan berkata hubungan persahabatan yang terjalin sekian lama serta Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) antara kedua-dua negara menyediakan asas kukuh untuk memperluas kerjasama praktikal yang akan membawa manfaat nyata kepada kedua-dua pihak.

Dengan memanfaatkan momentum itu, Abdul Majid yang juga Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-China berkata terdapat potensi besar untuk kerjasama yang lebih mendalam dalam bidang seperti ekonomi digital dan hijau, kecerdasan buatan (AI), pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta pembangunan kemahiran.

“Bagi Malaysia, objektif kita seharusnya melangkaui usaha menarik pelaburan dan meningkatkan angka perdagangan.

“Kita harus memberikan penekanan yang lebih besar terhadap pemindahan teknologi, pembangunan bakat tempatan, pengukuhan penyertaan PKS Malaysia dan peningkatan kedudukan kita dalam rantaian nilai serantau dan global,” katanya pada simposium bertajuk “Understanding China’s Governance: Insights and Implications of the Fifth Plenary Session of the 20th CPC Central Committee” anjuran Kedutaan China di sini pada Jumaat.

Merujuk kepada Sidang Pleno Kelima CPC yang berlangsung di Beijing bulan lepas, beliau berkata sidang itu menekankan keazaman parti berkenaan untuk memperkukuh keupayaan tadbir urusnya dan memimpin negara itu ke fasa pembangunan seterusnya.

“Bagi Malaysia, tugas kita adalah untuk mengenal pasti pengajaran yang relevan, memperkukuh institusi kita sendiri serta memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan menerusi kerjasama lebih erat dengan China,” katanya.

Di peringkat serantau, Abdul Majid berkata kerjasama ASEAN-China yang lebih kukuh dalam bidang perdagangan, kesalinghubungan, pendidikan, inovasi dan pembangunan mampan mampu menyumbang secara signifikan kepada kestabilan serantau dan kemakmuran bersama, di samping mendukung kepusatan ASEAN serta melindungi kepentingan semua negara anggota.

Sementara itu, Presiden Centre for New Inclusive Asia Koh King Kee berkata pengalaman China dalam bidang perindustrian, pembangunan infrastruktur, pengurangan kemiskinan dan perancangan jangka panjang telah menarik minat, khususnya dalam kalangan negara Selatan Global.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pengalaman China dalam tadbir urus perlu dikaji secara objektif.

“Setiap negara mempunyai sejarah, budaya, institusi dan keadaan pembangunan tersendiri; tiada satu model yang boleh diguna pakai di semua negara,” katanya.

Koh berkata pengaruh China yang semakin meningkat di peringkat antarabangsa turut membawa tanggungjawab yang lebih luas di tengah-tengah ketegangan geopolitik, fahaman perlindungan, pemecahan ekonomi dan tekanan terhadap institusi pelbagai hala.

Beliau berkata ASEAN dan China berkongsi kepentingan dalam mewujudkan rantau yang aman, stabil dan makmur.

“Bagi ASEAN, termasuk Malaysia, kestabilan dan kemakmuran China adalah penting. China dan ASEAN merupakan rakan dagang terbesar antara satu sama lain dan hubungan ekonomi kedua-dua pihak semakin erat menerusi perdagangan, pelaburan, kesalinghubungan dan kerjasama serantau,” katanya.