Indonesia Pertimbang Wajibkan Nombor Telefon Untuk Media Sosial

JAKARTA, 18 Mei — Indonesia sedang mempertimbangkan untuk mewajibkan pengguna media sosial mendaftarkan akaun mereka menggunakan nombor telefon mudah alih sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh akauntabiliti dan membanteras penyalahgunaan platform digital.

Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Indonesia Meutya Hafid berkata cadangan itu kini sedang dibincangkan menerusi proses konsultasi awam sebelum sebarang dasar dimuktamadkan.

Beliau berkata walaupun pemberian nombor telefon mudah alih ketika mewujudkan akaun media sosial pada masa ini adalah pilihan di Indonesia, langkah mewajibkannya akan menjadikan pengguna lebih bertanggungjawab terhadap kandungan yang dikongsi di platform digital.

“Ini akan menjadikan identiti pengguna lebih jelas,” katanya dalam mesyuarat bersama Suruhanjaya I Dewan Perwakilan Rakyat, menurut Agensi Berita ANTARA pada Isnin.

Sementara itu, Meutya berkata tahap pematuhan platform digital terhadap permintaan kerajaan untuk menyederhanakan kandungan berbahaya masih rendah, iaitu sekitar 20 peratus.

Sehubungan itu, beliau berkata Indonesia turut mula menjalankan siasatan secara langsung terhadap beberapa platform digital, termasuk Meta, khususnya berhubung pengendalian maklumat salah berkaitan kesihatan serta pematuhan terhadap peraturan perlindungan kanak-kanak negara itu.

Beliau berkata kerajaan juga sedang mempertimbangkan peraturan yang mewajibkan platform digital menubuhkan pejabat perwakilan di Indonesia bagi memudahkan penyelarasan lebih pantas dengan pihak berkuasa berkaitan tadbir urus digital dan isu keselamatan dalam talian.