Isu Kertas Undi: Ketua NEC Korea Selatan Tawar Letak Jawatan

SEOUL, 5 Jun — Ketua badan pemantau pilihan raya Korea Selatan menawarkan untuk meletakkan jawatan pada Jumaat susulan kekurangan kertas undi yang belum pernah berlaku sebelum ini sehingga mengganggu proses pengundian di beberapa kawasan di Seoul semasa pilihan raya tempatan minggu ini, lapor Agensi Berita Yonhap.

Roh Tae-ak, pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan (NEC), membuat pengumuman itu susulan kemarahan orang ramai terhadap kelemahan suruhanjaya berkenaan dalam mengendalikan pengagihan kertas undi bagi pilihan raya tempatan pada Rabu.

“Saya berasa sangat bertanggungjawab terhadap keseluruhan situasi ini,” kata Roh dalam sidang media di ibu pejabat agensi itu di Gwacheon, selatan Seoul.

Beliau memohon maaf kerana menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap pengurusan pilihan raya dan menyatakan bahawa insiden itu telah menjejaskan minat tinggi pengundi terhadap kerajaan tempatan serta penyertaan dalam pilihan raya.

Menurut Roh, Setiausaha Agung NEC Heo Cheol-hoon turut menawarkan untuk meletakkan jawatan.

Roh berikrar akan memberi kerjasama penuh terhadap semua siasatan berhubung insiden itu, termasuk kemungkinan siasatan oleh Parlimen.

Pejabat presiden menyatakan ia “memandang serius” tawaran peletakan jawatan oleh Roh dan Heo serta menggesa langkah diambil untuk menilai semula keseluruhan proses pengurusan pilihan raya bagi memulihkan keyakinan awam.

“NEC mesti memberikan penjelasan yang mencukupi dan boleh diterima orang ramai serta mengambil tindakan susulan yang tegas berhubung kebimbangan besar yang timbul dalam kalangan masyarakat sepanjang proses pilihan raya,” kata seorang pegawai Cheong Wa Dae.

NEC merancang untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas yang dianggotai pakar luar bagi mengenal pasti punca sebenar kekurangan itu dan merangka langkah pencegahan.

Kekurangan kertas undi dilaporkan di lebih sedozen pusat mengundi di Seoul, termasuk di daerah tenggara Songpa dan Gangnam, sekali gus menyebabkan proses pengundian digantung sementara di kawasan berkenaan. Beberapa pengundi dilaporkan pulang tanpa mengundi selepas menunggu lama.

Penunjuk perasaan yang mendakwa berlaku penipuan pilihan raya kemudian berkumpul di sebuah pusat mengundi di Jamsil, daerah Songpa, bagi menghalang pegawai pilihan raya daripada membawa peti undi ke pusat penjumlahan undi.

Polis akhirnya menyuraikan kumpulan itu pada awal hari berkenaan dan memindahkan peti undi yang mengandungi kira-kira 2,000 kertas undi untuk proses penjumlahan undi.