Jabatan Negara AS Umum Pasport Edisi Terhad Sempena Ulang Tahun Ke-250 Kemerdekaan

WASHINGTON, 3 Julai — Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pengeluaran pasport edisi terhad sempena ulang tahun ke-250 kemerdekaan negara itu, lapor Sputnik/RIA Novosti.

“Jabatan Negara mengeluarkan pasport kenangan bagi meraikan ulang tahun ke-250 Amerika. 

“Pasport khas ini menampilkan karya seni tempahan yang menarik dan imej dipertingkat, yang memberi penghormatan kepada penubuhan negara kita, sambil mengekalkan semua ciri keselamatan canggih yang menjadikan pasport AS sebagai penanda aras utama bagi dokumen perjalanan dan pengenalan diri,” menurut Jabatan Negara dalam satu kenyataan.

Minggu lepas, Presiden AS Donald Trump memperkenalkan reka bentuk pasport Amerika yang baharu.

Imej yang dipamerkan Trump memaparkan potret rasmi beliau, dibingkaikan dengan teks Perisytiharan Kemerdekaan AS yang ditandatangani pada 1776, serta unsur bendera Amerika.

Cetakan timbul berwarna emas itu turut dilengkapi tandatangan peribadi ketua negara berkenaan.

Satu lagi halaman memaparkan ukiran berdasarkan lukisan terkenal “Declaration of Independence”, dengan tulisan “United States of America 250” di bahagian bawah.

Pada April, Jabatan Negara AS mengumumkan siri pasport edisi terhad dengan reka bentuk khas, termasuk potret rasmi Trump bagi memperingati ulang tahun ke-250 kemerdekaan Amerika.