DHAKA, 28 Jun — Masjid Pagla yang bersejarah di Kishoreganj mencatat kutipan tabung tertinggi dalam sejarahnya apabila sejumlah Tk15.9 crore (US$1.29 juta) diperoleh daripada peti-peti tabung masjid itu selepas proses pengiraan yang berlangsung sepanjang hari pada Sabtu, lapor United News of Bangladesh (UNB).
Majistret Daerah Tambahan Md Ershadul Ahmed berkata sebanyak Tk15,90,80,146 (US$1.29 juta) berjaya dikumpulkan daripada 13 peti tabung besi yang ditempatkan di masjid berkenaan di kawasan Harua, di tebing Sungai Narsunda, Kishoreganj.
Menurut beliau, peti-peti tabung itu dibuka pada 7 pagi dan proses pengiraan selesai kira-kira 8 malam.
Seramai kira-kira 590 orang terbabit dalam proses pengiraan termasuk anggota jawatankuasa pengurusan masjid, guru dan pelajar madrasah serta rumah anak yatim di dalam kompleks masjid, pelajar Madrasah Jamia Imdadia berhampiran dan pegawai Rupali Bank.
Kali terakhir peti-peti tabung itu dibuka ialah pada 27 Dis 2025, dengan jumlah kutipan ketika itu mencecah Tk11.78 crore (US$956,000).
Terdahulu pada pagi Sabtu, pihak pengurusan Masjid Pagla mengeluarkan 43 guni yang mengandungi wang tunai dan emas daripada peti-peti tabung berkenaan, enam bulan selepas pengiraan sebelumnya dilakukan.
Semua wang yang dikumpulkan kemudian dimasukkan ke dalam akaun Masjid Pagla di Rupali Bank, manakala emas, perak dan mata wang asing yang turut ditemui disimpan sebelum diserahkan kepada perbendaharaan daerah.
Sementara itu, Pesuruhjaya Daerah Kishoreganj yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Pagla, Sohana Nasrin berkata peti-peti tabung berkenaan, yang terdiri daripada 10 peti kekal dan tiga peti sementara, hanya dibuka selepas penuh keseluruhannya.
Beliau berkata dana terkumpul Masjid Pagla kini mencecah Tk114.13 crore (US$9.27 juta).













Tinggalkan Balasan