Menteri Luar China, Malaysia Adakan Pertemuan di Manila

Menteri Luar China, Wang Yi bertemu rakan sejawatnya dari Malaysia, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Hasan di Manila, Filipina pada Selasa.

Dalam pertemuan itu, Wang menyatakan bahawa tahun ini merupakan ulang tahun ke-35 hubungan dialog China-ASEAN dan ulang tahun ke-5 bagi penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif China-ASEAN. 

Ujarnya ASEAN merupakan komponen penting dalam landskap multipolar dan kuasa utama dalam Selatan Global.

Wang menyatakan harapan agar Malaysia dapat memainkan peranan dengan baik sebagai negara penyelaras hubungan China-ASEAN, memelihara kepentingan bersama China dan ASEAN serta memastikan keamanan dan kestabilan di rantau Asia Timur.

Mengulas lanjut Wang berkata, berdasarkan Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DoC), China bersama-sama negara ASEAN komited untuk menyelesaikan rundingan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (CoC) secepat mungkin.

Dalam pertemuan itu, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Hasan menyatakan bahawa selaku negara penyelaras hubungan ASEAN-China, Malaysia akan berusaha dengan sepenuhnya mendorong kerjasama antara ASEAN dan China, dan bersama-sama memelihara kedudukan utama ASEAN dalam kerangka serantau.  

Menurut beliau, terdapat beberapa negara di luar rantau ini yang langsung tiada kaitan dengan Laut China Selatan, namun sentiasa ingin “menunjukkan kekuatan” di perairan tersebut.

Beliau berharap agar Kod Tatalaku di Laut China Selatan (CoC) dapat dicapai seawal mungkin sekaligus memelihara keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan.