Pakistan Tegaskan “Penglibatan Berterusan” Bagi Tamatkan Perang AS-Iran

KARACHI, 3 Jun — Diplomat tertinggi Pakistan dan Kuwait pada Selasa membincangkan perkembangan terkini di Asia Barat, dengan Islamabad menekankan keperluan “penglibatan berterusan” bagi menamatkan perang yang berlarutan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, lapor Anadolu Ajansi memetik kenyataan rasmi.

Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar melalui perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Kuwait, Sheikh Jarrah Jaber Al-Ahmad Al-Sabah, sebagai sebahagian daripada usaha pengantaraan berterusan Islamabad untuk menamatkan konflik itu di tengah-tengah jalan buntu baharu akibat pelanggaran gencatan senjata oleh Israel, terutamanya pencerobohan berskala besar di selatan Lubnan.

Dar sekali lagi menegaskan  komitmen Islamabad untuk menyokong diplomasi dan komitmen berterusan sebagai “jalan pilihan” untuk keamanan dan kestabilan jangka panjang di seluruh rantau itu, menurut Kementerian Luar Pakistan.

Sebagai balasan, Jarrah memuji peranan Pakistan selaku pengantara yang berterusan serta usahanya dalam memudahkan rundingan antara kedua-dua pihak yang bertelagah, selain menghargai sumbangan “membina” negara itu terhadap keamanan dan keselamatan serantau. Kedua-dua pihak menyatakan harapan agar inisiatif diplomatik yang sedang berjalan akan membuahkan hasil positif dan keamanan yang berkekalan dalam “masa terdekat.”

Mereka juga mengesahkan hubungan persaudaraan yang kukuh antara Pakistan dan negara Teluk itu serta bersetuju untuk terus berhubung rapat pada masa hadapan, menurut kenyataan itu.

Ketegangan serantau meningkat sejak AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada Februari lepas.

Tehran kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan yang menyasarkan Israel serta sekutu AS di Teluk, di samping menutup Selat Hormuz.

Gencatan senjata mula berkuat kuasa pada 8 April melalui pengantaraan Pakistan, namun rundingan susulan di Islamabad gagal mencapai perjanjian jangka panjang. Trump kemudiannya melanjutkan gencatan senjata itu untuk tempoh yang tidak dinyatakan.

Sejak itu, kedua-dua belah pihak terus bertukar-tukar cadangan dan cadangan balas dalam usaha untuk menyambung semula rundingan secara langsung dan menamatkan konflik berkenaan.