Saintis China Terima Anugerah Penting dalam Bidang Pengaplikasian Sains Angkasa Dunia

Penyelidik Pentadbiran Meteorologi China (CMA), Wang Jinsong menerima Pingat William Nordberg pada Persidangan Saintifik Jawatankuasa Penyelidikan Angkasa Antarabangsa (COSPAR) edisi ke-46 di Florence, Itali, pada Isnin. 

Pingat William Nordberg diberikan kepada individu yang mencatat pencapaian penting serta memberikan sumbangan cemerlang dalam bidang pengaplikasian sains angkasa.

Wang merupakan saintis China pertama menerima penghormatan berkenaan sejak anugerah itu diperkenalkan pada 1988. Sebuah asteroid turut dinamakan sempena nama beliau.

Penganugerahan itu mencerminkan pengiktirafan komuniti akademik antarabangsa terhadap kemajuan China dalam bidang sains angkasa dan pengaplikasian.

Wang Jinsong kini berkhidmat sebagai Pengarah Pusat Meteorologi Satelit Nasional, yang turut dikenali sebagai (Pusat Pemantauan dan Amaran Awal Cuaca Angkasa Nasional), serta Ketua Pereka Projek Satelit Meteorologi Fengyun.

Menerusi usaha Wang bersama pasukannya, perkhidmatan cuaca angkasa China berkembang pesat daripada peringkat awal hingga muncul antara yang terkemuka di dunia.

COSPAR merupakan sebuah organisasi akademik antarabangsa di bawah Majlis Sains Antarabangsa (ISC). 

Pingat William Nordberg, yang diperkenalkan COSPAR dianugerahkan setiap dua tahun. Sejak 2022, dua saintis dipilih sebagai penerima pada setiap edisi.

Pemenang lain untuk tahun ini ialah Ketua Saintis Fizik Suria Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA), David Seebeck.