SINGAPURA, 30 April — Perkhidmatan teksi rentas sempadan antara Singapura dan Malaysia akan diperluas bermula 4 Mei ini, membolehkan teksi berlesen beroperasi dengan lebih fleksibel di kedua-dua negara dalam usaha memudahkan perjalanan selain memastikan persaingan adil dan penguatkuasaan berkesan.
Dalam satu kenyataan bersama pada Khamis, kementerian pengangkutan Singapura dan Malaysia berkata langkah itu menekankan komitmen bersama terhadap perjalanan rentas sempadan yang selamat dan boleh dipercayai, di samping melindungi pemandu tempatan daripada perkhidmatan haram.
“Penambahbaikan ini akan memberi manfaat kepada hubungan perniagaan yang kukuh serta hubungan sesama rakyat antara Singapura dan Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Langkah berkenaan adalah susulan daripada hasil Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia ke-12 pada Disember tahun lepas.
Kedua-dua kementerian, bersama-sama Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Malaysia, telah bekerjasama rapat untuk memuktamadkan dan melaksanakan langkah perkhidmatan teksi rentas sempadan itu.
“LTA dan APAD akan melaksanakan langkah-langkah berikut di bawah Skim Teksi Rentas Sempadan bermula 4 Mei 2026,” menurut kenyataan itu lagi.
Di bawah langkah baharu itu, teksi berlesen akan dibenarkan menurunkan penumpang di mana-mana sahaja di Singapura dan di kawasan yang ditetapkan di Malaysia, iaitu Johor Bahru, Iskandar Puteri, Forest City, Kulai dan Senai.
Setiap negara akan menyediakan kuota tambahan sebanyak 100 teksi, meningkat daripada 200 teksi sedia ada; manakala teksi berlesen juga mestilah boleh dikenal pasti dengan jelas melalui hiasan, awalan khas pada plat kenderaan yang ditetapkan dan papan tanda teksi di atas bumbung semasa beroperasi di negara asing.
“Teksi juga perlu memasang peranti, seperti yang dikehendaki oleh negara asing, bagi membolehkan penguatkuasaan dilakukan apabila memasuki negara berkenaan,” katanya.
Ketua Eksekutif LTA Ng Lang berkata penambahbaikan itu akan memberikan kemudahan yang lebih besar dan kesalinghubungan yang lebih baik bagi pengembara antara Singapura dan Malaysia.
Sementara itu, Ketua Pengarah APAD Ahmad Radhi Maarof berkata penambahbaikan itu menandakan langkah penting ke hadapan dalam memperkukuh kesalinghubungan pengangkutan antara Malaysia dan Singapura.
“Pergerakan orang ramai merentasi Tambak merupakan jalinan penting dalam hubungan dua hala kita, dan kami bertekad untuk menjadikan pengalaman itu selancar dan semudah mungkin.
“Kami berharap dapat memperdalam kerjasama ini lagi dengan meneliti lebih banyak cara untuk memudahkan aliran pengembara pada masa hadapan,” katanya.













Tinggalkan Balasan