Tiga Lapangan Terbang Indonesia Sambung Operasi Selepas Penutupan Akibat Abu Anak Krakatau

JAKARTA, 8 Sept — Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta dan dua lagi lapangan terbang di Indonesia kembali beroperasi awal Selasa selepas pihak berkuasa mengisytiharkan keadaan selamat, sekali gus menamatkan penutupan sejak Ahad akibat abu  Gunung Berapi Anak Krakatau.

Pengendali lapangan terbang, InJourney Airports memaklumkan lapangan terbang utama Jakarta, Soekarno-Hatta di Tangerang kembali beroperasi pada 12.30 tengah malam waktu tempatan, diikuti Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta pada 12.40 tengah malam dan Lapangan Terbang Husein Sastranegara di Bandung pada 12.42 tengah malam.

Syarikat itu berkata keputusan berkenaan dibuat selepas pihak berkuasa penerbangan dan meteorologi menilai keadaan susulan letusan Anak Krakatau dan mengesahkan operasi boleh disambung semula dengan selamat.

“Kami menggesa semua penumpang supaya sentiasa menyemak status penerbangan masing-masing dan menghubungi syarikat penerbangan mereka untuk mendapatkan maklumat terkini,” menurut InJourney Airports dalam hantaran di akaun Instagram rasminya.

Operasi disambung semula selepas abu gunung berapi daripada Anak Krakatau memaksa pihak berkuasa Indonesia menutup sementara beberapa lapangan terbang, sekali gus mengganggu ratusan penerbangan dan menjejaskan ribuan penumpang sepanjang hujung minggu.

Sementara itu, Gunung Anak Krakatau meletus tiga kali pada pagi Selasa ketika pihak berkuasa Indonesia terus memantau aktiviti gunung berapi itu.

Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Indonesia merekodkan letusan pada 5.08 pagi, 5.34 pagi dan 7.49 pagi waktu tempatan. 

Anak Krakatau kekal pada Tahap III, iaitu tahap kedua tertinggi dalam sistem amaran gunung berapi empat peringkat Indonesia.

Di lokasi lain di Indonesia, dua lagi gunung berapi pada Tahap III turut meletus pada Selasa, dengan Gunung Ibu di Maluku Utara merekodkan tiga letusan, manakala Ili Lewotolok di Nusa Tenggara Timur memuntahkan abu kelabu kira-kira 800 meter di atas puncaknya, menurut PVMBG.

Ketiga-tiga gunung berapi itu terletak di kawasan berbeza di kepulauan Indonesia, dengan Anak Krakatau di Selat Sunda di barat Indonesia, Gunung Ibu di Maluku Utara dan Ili Lewotolok di Pulau Lembata, Nusa Tenggara Timur.