ISTANBUL, 21 Sept — Qatar pada Ahad berkata pasukan pengantaraannya membincangkan beberapa cadangan bagi menghidupkan semula rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran sejak hampir dua minggu lalu.
“Kami telah bertukar-tukar pelbagai pandangan sejak hampir dua minggu lalu mengenai usaha menyambung semula rundingan antara Washington dan Tehran,” kata jurucakap Kementerian Luar Majed al-Ansari, menurut Anadolu Ajansi yang memetik media Qatar.
Qatar bersama Pakistan bertindak sebagai pengantara antara kedua-dua pihak.
“Kami sedang berusaha menerusi pasukan pengantaraan kami dengan Tehran dan Washington untuk melihat sama ada rundingan boleh disambung semula, dan para pengantara kami kini bergerak antara beberapa ibu negara dengan harapan dapat mencapai kemajuan dalam usaha ini,” kata al-Ansari.
Beliau berkata Qatar turut menerima jaminan daripada pegawai pentadbiran AS bahawa Washington mahu mencapai satu persetujuan.
Al-Ansari berkata terdapat keperluan untuk penyelesaian serantau yang mampu mencapai kestabilan serta persefahaman antarabangsa yang melindungi laluan perairan seperti Selat Hormuz.
“Meletakkan laluan perairan di bawah kedaulatan sesebuah negara dan menggunakannya sebagai senjata akan mewujudkan duluan berbahaya bagi kita semua,” katanya.
AS baru-baru ini melancarkan serangan ketenteraan ke atas beberapa lokasi di Iran susulan kebuntuan rundingan berhubung perbezaan pendirian mengenai pelayaran di Selat Hormuz, antara laluan terpenting dunia bagi bekalan tenaga dan perdagangan global, meskipun kedua-dua pihak menandatangani memorandum persefahaman pada pertengahan Jun.
Iran membalas dengan serangan terhadap apa yang didakwanya sebagai kemudahan dan peralatan ketenteraan AS di negara-negara Arab termasuk Arab Saudi.
AS dan Israel melancarkan perang terhadap Iran pada 28 Feb, yang mengorbankan lebih 3,000 orang, menurut Tehran.
Iran membalas dengan serangan yang menurutnya mengorbankan rakyat AS dan Israel.
Kenyataan Qatar itu dibuat selepas Jabatan Negara AS mengeluarkan amaran keselamatan pada Ahad bahawa “berikutan ketegangan di Asia Barat, keadaan keselamatan kekal rumit dengan kemungkinan berlaku peningkatan ketegangan yang tidak dijangka.”
Ia menggesa rakyat AS di rantau itu supaya berhati-hati, manakala mereka yang berada di luar rantau berkenaan diminta mempertimbangkan semula perjalanan ke atau melalui kawasan itu.
Beberapa kedutaan AS di rantau berkenaan termasuk di Emiriah Arab Bersatu, Iraq dan Jordan turut mengeluarkan amaran serupa pada Ahad.













Tinggalkan Balasan