Menteri Luar China Wang Yi mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Indonesia Sugiono, di New York pada Selasa.
Wang berkata, China bersedia bersama-sama pihak Indonesia untuk meningkatkan pertukaran lawatan peringkat tinggi, dan mempergiat koordinasi pelbagai hala bagi mendorong perkembangan hubungan kedua-dua negara mencapai kemajuan lebih besar.
Di samping itu, menurut Wang, China dan Indonesia perlu memperkasakan penerokaan bersama di laut, mengeluarkan isyarat jelas tentang pihak-pihak berkepentingan di Laut China Selatan yang saling percaya, menyokong dan bekerjasama, selain berusaha bersama untuk memelihara kedamaian dan kestabilan di Laut China Selatan demi mewujudkan situasi sama menang.
Sugiono pula berkata Indonesia memberikan perhatian tinggi terhadap hubungan dengan China.
Beliau menegaskan bahawa Indonesia bersedia berganding bahu dengan China untuk meningkatkan pertukaran lawatan pelbagai peringkat, memperkasakan kerjasama praktikal dalam pelbagai bidang serta melaksanakan konsensus mengenai penerokaan bersama di laut.
Selain itu, menurut Sugiono, Indonesia akan mewujudkan iklim perniagaan baik untuk syarikat China, meningkatkan kerjasama dalam bidang sumber tenaga dan mineral, melonjakkan taraf hubungan perkongsian strategik komprehensif Indonesia-China, selain mendorong rantau ini berkembang secara damai, stabil dan inklusif.
Untuk rekod, pertemuan menteri luar China-Indonesia itu diadakan sempena mesyuarat peringkat tinggi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di ibu pejabat PBB di New York.













Tinggalkan Balasan