Seluruh masyarakat China di dalam mahupun luar negara diseru memperkukuh perpaduan serta meneruskan cita-cita Dr. Sun Yat-sen dalam menjayakan usaha kebangkitan semula bangsa China serta merealisasikan impian besar yang sekian lama diperjuangkan oleh rakyat pelbagai etnik di China sejak zaman moden.
Demikian dinyatakan Presiden China, Xi Jinping pada majlis memperingati ulang tahun ke-160 kelahiran Dr Sun Yat-sen di Dewan Besar Rakyat di Beijing pagi Khamis.
Beliau berkata sejak lebih seabad lalu, slogan “Membangkitkan Semula China” yang diperjuangkan Dr. Sun Yat-sen telah memberikan inspirasi kepada generasi demi generasi masyarakat China serta terus diberikan makna dan pengertian baharu mengikut peredaran zaman.
“Hari ini, cara terbaik untuk memperingati Dr Sun Yat-sen ialah mempelajari, mewarisi dan menyemarakkan semangat perjuangannya, serta terus berusaha memajukan pembangunan negara yang kuat dan merealisasikan kebangkitan semula bangsa,” kata Xi lagi.
Dr Sun Yat-sen sepanjang hayatnya menzahirkan semangat cinta akan tanah air dan berusaha menyelamatkan negara. Justeru, semua masyarakat China perlu mengangkat semangat patriotisme serta berusaha gigih demi mencapai kemakmuran dan memperkukuh kekuatan negara.
Malah, Dr Sun Yat-sen sepanjang hayatnya gigih mencari kebenaran. Maka, semangat perjuangan seumpama itu perlu terus dicontohi oleh masyarakat China dalam memacu inovasi teori berteraskan amalan dan pengalaman praktikal.
Tidak sekadar itu, Dr Sun Yat-sen tidak pernah mengenal erti putus asa sepanjang hidupnya. Oleh demikian, seluruh masyarakat China perlu mencontohi semangat juang beliau untuk berani menghadapi dan mengatasi pelbagai cabaran serta berusaha gigih membuka lembaran baharu dalam usaha memajukan negara.
Selain itu, Dr Sun Yat-sen juga sentiasa memperjuangkan perpaduan. Oleh itu, nilai berkenaan perlu sentiasa ditegakkan oleh bangsa China bagi memperkukuh dan mengembangkan perpaduan di negara ini.
Di samping itu, Dr Sun Yat-sen juga mempunyai pandangan yang luas terhadap dunia. Sehubungan itu, nilai-nilai bersama seluruh umat manusia perlu terus diketengahkan, di samping menggalakkan pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan
Dr Sun Yat-sen juga sentiasa berpegang teguh pada usaha memelihara kesatuan negara dan perpaduan bangsa serta menentang segala kenyataan dan tindakan yang bertujuan memecahbelahkan negara dan bangsa.
Hasrat mendalam dan keazaman teguh Dr. Sun Yat-sen dalam memperjuangkan penyatuan negara terus menjadi sumber inspirasi, pengajaran dan dorongan kepada seluruh masyarakat China.











Tinggalkan Balasan