Presiden China, Xi Jinping telah mengadakan jamuan malam bagi mengalu-alukan kunjungan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke China di Dewan Besar Rakyat di sini Khamis.
Xi menyatakan ketika berucap dalam majlis berkenaan bahawa tahun ini merupakan tahun pertama pelaksanaan “Rancangan Lima Tahun Ke-15” Pembangunan Sosioekonomi Kebangsaan China (2026-2030), dan akan menyaksikan modenisasi ala China dilonjakkan secara menyeluruh ke satu tahap baharu berdasarkan pembangunan berkualiti tinggi.
“Tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-250 kemerdekaan AS. Baik rakyat China mahupun rakyat AS adalah rakyat yang mulia.
“Kedua-dua wawasan negara China dan AS, iaitu ‘Memperjuangkan Kebangkitan Bangsa China’ dan ‘Menjadikan Amerika Hebat Semula (MAGA)’ sama sekali tidak bercanggah, sebaliknya mempunyai keserasian yang boleh membawa manfaat kepada pihak lain malah seluruh dunia,” kata Xi.
“Pada 55 tahun yang lalu, China dan AS pernah melancarkan “Diplomasi Ping-Pong”, yang terbukti berjaya dalam memulihkan hubungan bilateral yang terbeku selama lebih 20 tahun.
“Di bawah situasi yang serba baharu sekarang ini, saya dan Presiden Trump memilih mengekalkan pertemuan atau perbualan melalui telefon dalam jumlah yang tidak sedikit, dengan tujuannya memastikan hubungan China-AS berada pada paras yang stabil pada keseluruhan,” ujar Xi.
Mengulas lanjut, Xi menyatakan kedua-dua pihak sudah sependapat bahawa hubungan China-AS sebagai hubungan dua hala paling penting di dunia pada masa kini, perlu dijaga baik dengan mengelakkan sebarang kemudaratan. Kedua-dua negara sepatutnya menjadi rakan, bukannya lawan atau seteru. China dan AS bersetuju untuk membina ‘Hubungan Strategik yang Stabil dan Konstruktif’, menggalakkan hubungan bilateral berkembang ke arah yang stabil, sihat dan mampan sehingga membawa lebih banyak keamanan, kemakmuran dan kemajuan kepada dunia.
“Ketika merenung kembali sejarah perkembangan hubungan China-AS, boleh didapati bahawa kunci kepada kestabilan hubungan dua hala terletak pada sama ada kami bersikap saling menghormati, hidup bersama secara aman dan bekerjasama demi menang-menang. Kami seharusnya bersama-sama memikul tanggungjawab yang mulia yang mempunyai makna sejarah ini, iaitu mendorong hubungan China-AS berkembang di landasan yang betul bagaikan kapal gergasi belayar dengan lancar dan mantap mengikut laluan yang menjanjikan,” tambah beliau.
Sementara itu, Trump pula menegaskan bahawa hubungan AS-China adalah hubungan dua hala paling penting di dunia, dan kedua-dua negara perlu memperkukuh kerjasama untuk mencipta masa depan yang lebih baik untuk dunia.












Tinggalkan Balasan