Perdana Menteri China Bertemu dengan Wakil Industri dan Perniagaan AS

Perdana Menteri Li Qiang telah mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil sektor perniagaan dan industri Amerika Syarikat (AS) yang mengiringi Presiden Donald Trump dalam lawatannya ke China di Dewan Besar Rakyat di Beijing pada petang Khamis. 

Li Qiang menegaskan bahawa hubungan ekonomi dan perdagangan China-AS yang stabil dan boleh dijangka adalah selaras dengan kepentingan kedua-dua negara bahkan dunia. Ekonomi China yang berkembang secara stabil akan menyediakan lebih banyak peluang kepada syarikat-syarikat dari pelbagai negara termasuk syarikat-syarikat pelaburan AS.

“China konsisten dalam pelaksanaan dasar yang stabil dan terbuka, dan komitmen untuk jangka panjang ini kondusif bagi terus memperluas keterbukaan, memberikan perkhidmatan terbaik kepada syarikat-syarikat asing yang menanam modal di negara ini, mengemaskini dasar-dasar berkenaan serta meningkatkan kecekapan pentadbiran. Kesemua ini dipercayai boleh membantu kelompok pelabur asing memfokuskan pada perancangan untuk masa depan dan pembangunan selanjutnya,” kata Li.

Turut hadir, petugas-petugas dari sejumlah konglomerat termasuk Apple, Nvidia, Meta, Cargill, Tesla, Boeing, Citigroup, Goldman Sachs, GE Aerospace, Qualcomm, Visa, Micron Technology, Mastercard, BlackRock, Blackstone, II-VI Incorporated, Illumina, serta Bursa Saham New York.

Para wakil dari AS dalam pertemuan tersebut menyatakan bahawa mereka mempunyai pandangan positif terhadap prospek pembangunan China,  dan memberi penilaian yang tinggi terhadap usaha berterusan China dalam meningkatkan tahap keterbukaan serta mewujudkan suasana perniagaan bertaraf dunia. 

Mereka bersedia untuk meningkatkan kerjasama dengan China dan akan melakukan lebih banyak usaha dalam meningkatkan persefahaman serta kerjasama antara kedua-dua negara.