Xi Bertemu Ketua Pengarah UNESCO

China bersedia memperdalam kerjasama strategik dengan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat di seluruh dunia.

Demikian dinyatakan Presiden Xi Jinping semasa pertemuannya dengan Ketua Pengarah UNESCO Khaled El-Enany di Beijing pada Selasa.

Xi berkata China menyokong kewibawaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan peranan penting yang dimainkan UNESCO dalam tadbir urus global.

Beliau menzahirkan kesediaan China untuk bersama-sama UNESCO melaksanakan empat inisiatif global bagi membolehkan rakyat di seluruh dunia menikmati hasil pembangunan pendidikan, sains dan kebudayaan, merungkai cabaran bersama dengan lebih berkesan sambil bersinergi membina komuniti berkongsi nasib sesama insan.

Beliau turut menyarankan supaya kedua-dua pihak memperdalam kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI), sains terbuka dan pendidikan digital, di samping memperkasa kerjasama dengan negara Selatan Global dan mengukuhkan perlindungan warisan budaya serta interaksi dan saling belajar sesama tamadun.

Sementara itu, El-Enany merakamkan penghargaan terhadap sokongan berterusan China kepada UNESCO selama ini.

Beliau berkata UNESCO berharap dapat terus memperkasa kerjasama dengan China bagi meningkatkan tahap pembangunan pendidikan dan budaya global, menggalakkan pertukaran sains dan teknologi, memperdalam kerjasama AI, di samping bersama-sama melaksanakan empat inisiatif global demi kesejahteraan manusia sejagat.