Xi Seru Rakyat China Kukuhkan Keyakinan, Berusaha Gigih ke Arah Kebangkitan Gemilang Bangsa

Presiden China Xi Jinping pada Rabu menyeru rakyat seluruh negara agar memperkukuh keyakinan dan berusaha gigih ke arah mewujudkan kebangkitan gemilang bangsa China.

Xi membuat seruan tersebut ketika berucap pada majlis resepsi meraikan ulang tahun ke-77 Republik Rakyat China yang diadakan di Dewan Besar Rakyat Beijing pada Rabu malam.

Xi menekankan bahawa trend kebangkitan gemilang bangsa China tidak boleh dihentikan. 

“Selagi kita mengekalkan keyakinan teguh, memfokuskan kepada sasaran, dan berusaha gigih, kejayan pasti akan tercapai oleh Parti, rakyat China yang hebat, serta Republik Rakyat China,” ujar Xi.

Beliau menyatakan bahawa dalam lebih 77 tahun lalu, Parti Komunis China (PKC) telah membimbing rakyat negara ini mencapai dua keajaiban iaitu pertumbuhan ekonomi yang pesat dan ketenteraman masyarakat untuk jangka masa panjang.

“Kita berasa amat bangga atas prestasi cemerlang yang dilakar republik ini, dan mempunyai keyakinan penuh terhadap masa depan pemodenan ala China,” kata Xi.

Sejak awal tahun ini, ekonomi China terus mencapai pertumbuhan walaupun menghadapi tekanan besar, serta mewujudkan pembangunan yang dipacu inovasi dan berkualiti tinggi, sekali gus memperlihatkan daya tahan dan momentum yang kuat, menurut Xi.

Beliau menegaskan bahawa usaha harus diperkasakan untuk mengekalkan momentum kuat tersebut, di samping mempromosikan pembangunan ekonomi yang dipacu inovasi, berkualiti tinggi dan mampan, serta mengambil tindakan praktikal untuk menjamin dan menambah baik kesejahteraan rakyat.

Hari Kebangsaan China disambut pada 1 Oktober.

Majlis resepsi tersebut dipengerusikan Perdana Menteri China Li Qiang, dan turut dihadiri barisan pemimpin PKC dan kerajaan serta hampir 800 tokoh dari dalam dan luar negara.