Autonomi Parlimen Mesti Seiring Akauntabiliti – Azlina

KUALA LUMPUR, 5 Okt — Autonomi pentadbiran Parlimen tidak boleh disalahertikan sebagai kebebasan daripada akauntabiliti, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata Parlimen tidak berada di atas Perlembagaan Persekutuan, manakala pegawainya tetap tertakluk kepada piawaian profesional dan wang awam perlu diurus dengan kawalan sewajarnya.

“Kebebasan Parlimen tidak boleh disalahertikan sebagai kebebasan daripada akauntabiliti. Perbezaan ini penting. Autonomi Parlimen tidak bermakna Parlimen berada di atas Perlembagaan,” tulisnya dalam rencana bertajuk “Perkhidmatan Parlimen: Memanfaatkan Kebebasan Parlimen demi Rakyat.”

Azalina berkata kejayaan pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (Akta 869) tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan pewujudan kerangka pentadbiran baharu.

Sebaliknya, beliau berkata keberkesanannya perlu diukur berdasarkan sejauh mana Parlimen menjadi lebih profesional, berkesan, telus dan dipercayai serta mampu menghasilkan undang-undang dan tadbir urus lebih baik.

Beliau berkata autonomi institusi perlu meningkatkan keupayaan Parlimen untuk melakukan penelitian lebih menyeluruh terhadap rang undang-undang, dasar kerajaan dan perbelanjaan awam, yang akhirnya memberikan manfaat kepada rakyat.

Azalina berkata Parlimen bukan milik kerajaan yang memerintah atau mana-mana parti politik, justeru pentadbiran, kemudahan, penyelidikan dan sokongan jawatankuasanya perlu berkhidmat secara saksama kepada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

“Perkhidmatan Parlimen yang profesional mesti mengekalkan sikap berkecuali dalam politik. Kesetiaannya hendaklah ditujukan kepada institusi Parlimen dan Perlembagaan, bukannya kepada mana-mana gabungan politik yang membentuk kerajaan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan yang baik seharusnya mengalu-alukan Parlimen lebih kukuh kerana penelitian berkesan boleh mempertingkat mutu penggubalan undang-undang, pembentukan dasar dan pengurusan wang awam.

Katanya reformasi itu juga perlu dibangunkan supaya dapat bertahan melangkaui perubahan kerajaan, gabungan politik serta pertukaran Ahli Parlimen.

Akta 869 dan pindaan berkaitan kepada Perlembagaan Persekutuan berkuat kuasa pada 1 Okt lepas, lebih tiga dekad selepas Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 dimansuhkan pada 1992.