SEREMBAN, 4 Jun — Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, yang mempunyai 36 kerusi, secara rasmi dibubarkan esok untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun pada sidang media khas di kediaman rasmi beliau di sini malam ini sekali gus mengakhiri spekulasi pembubaran DUN sejak beberapa minggu lepas.
Beliau berkata pembubaran itu dibuat selepas beliau mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada majlis menghadap yang berlangsung di Istana Besar Seri Menanti hari ini.
Aminuddin berkata notis pemakluman rasmi mengenai pembubaran DUN akan diserah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya dalam masa terdekat untuk menentukan tarikh penting bagi urusan PRN seperti penamaan calon, tempoh berkempen dan hari pengundian.
“Pakatan Harapan (PH) akan bertanding di kesemua 36 kerusi DUN dan pembahagian antara parti komponen akan dimaklumkan minggu depan,” katanya kepada pemberita.
Beliau juga berkata pembubaran DUN itu ibuat mengikut lunas peraturan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi menyelesaikan kemelut politik yang berlaku di Negeri Sembilan.
“Kita rasa perlu untuk mengadakan satu mandat baharu daripada rakyat… jadi, saya serahkan kepada rakyat untuk menentukan masa depan negeri ini,” katanya.
PRN ke-15 pada 2023 menyaksikan gabungan politik PH dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan di Negeri Sembilan apabila menguasai 31 kerusi DUN.
PH memenangi 17 kerusi diikuti BN dengan 14 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) pula lima kerusi.
Negeri Sembilan menjadi negeri kedua membubarkan DUN untuk memberi laluan kepada PRN selepas Johor yang berbuat demikian pada Isnin lepas.
















Tinggalkan Balasan