Hampir 70 Peratus Kemalangan Jalan Raya Libatkan Individu Berusia 16 Sehingga 40 Tahun

KUALA LUMPUR, 16 Julai —  Sebanyak 69.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kemalangan jalan raya di negara ini melibatkan individu berusia 16 hingga 40 tahun pada tahun lepas.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata daripada jumlah itu sebanyak 6,157 kes membabitkan individu berusia 16 sehingga 20 tahun diikuti 5,978 kes individu berusia 21 sehingga 25 tahun, 4,716 kes individu berusia 26 sehingga 30 tahun dan 3,640 kes mereka yang berusia 31 sehingga 35 tahun bagi tempoh berkenaan.

“Mengikut data, begitu juga pada tahun 2024, lebih kurang, jadi umur 70 tahun ke atas itu hanya memberikan sedikit sahaja (jumlah kes), itu pun bukan semestinya mereka yang memandu, mungkin mereka jadi penumpang dan sebagainya yang menjadi statistik kemalangan.

“Kenderaan berat, pemandu mabuk dan pemanduan yang cuai itu yang banyak menaikkan data statistik kemalangan di jalan raya di negara kita,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) yang ingin tahu kategori umur yang menyumbang kepada kadar kemalangan maut lebih tinggi.

Terdahulu, ketika menjawab soalan asal sama ada kerajaan bercadang mewajibkan pemeriksaan kesihatan sebagai syarat tambahan bagi pembaharuan lesen memandu warga emas berusia 70 tahun ke atas, Hasbi berkata Kementerian Pengangkutan sentiasa meneliti amalan terbaik antarabangsa berkaitan pelesenan golongan tersebut.

“Berdasarkan kajian dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, dapatan kajian serta analisis antarabangsa menunjukkan bahawa tiada bukti konklusif bahawa pengenalan pemeriksaan kesihatan mandatori berasaskan umur mampu mengurangkan kadar kemalangan secara signifikan.

“Pada masa yang sama sekatan yang dikenakan berdasarkan faktor umur semata-mata berpotensi menjejaskan mobiliti dan kesejahteraan warga emas khususnya dalam mengakses perkhidmatan kesihatan, urusan harian serta aktiviti kemasyarakatan,” katanya.

Hasbi berkata peningkatan usia tidak semestinya menyebabkan seseorang hilang keupayaan untuk memandu kerana tahap kesihatan dan kemampuan setiap individu adalah berbeza dan ramai dalam kalangan mereka masih mampu memandu dengan selamat serta bertanggungjawab.