GEORGE TOWN, 11 Jun — Hubungan erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan perlu terus diperkukuh bagi membolehkan negara mendepani pelbagai cabaran rentas bidang kuasa termasuk perubahan iklim, keterjaminan makanan, pengurusan air, transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata semua cabaran tersebut memerlukan penyelesaian yang lebih bersepadu, berasaskan perkongsian bertanggungjawab dan semangat federalisme yang matang.
Ini kerana, katanya, kekuatan Malaysia bergantung kepada keupayaan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk bergandingan sebagai rakan strategik yang saling melengkapi dalam merancang serta melaksanakan agenda pembangunan negara.
“Justeru, perbincangan mengenai hubungan negeri-Persekutuan perlu melangkaui soal pentadbiran, merangkumi pengagihan sumber yang lebih saksama, pengukuhan kapasiti institusi negeri, perkongsian data serta mekanisme perundingan yang lebih tersusun.
“Pulau Pinang secara konsisten menyokong agenda pembangunan nasional, namun kita percaya bahawa tadbir urus yang baik memerlukan keterbukaan untuk membincangkan isu-isu seperti desentralisasi, pengupayaan kerajaan negeri dan hubungan fiskal yang lebih seimbang,” katanya pada Forum Antara Negeri Mengenai Perhubungan Negeri-Persekutuan 2026 di Penang Institute, di sini, hari ini.
Chow berkata antara cadangan yang wajar diberi perhatian ialah mekanisme perkongsian hasil yang lebih adil termasuk mengembalikan sebahagian hasil cukai yang dijana di negeri-negeri kepada kerajaan negeri bagi membolehkan lebih banyak pelaburan dilakukan untuk kepentingan rakyat.
Katanya, hubungan negeri-Persekutuan perlu diperkukuh melalui platform rundingan yang lebih institusional, berkala dan berterusan tanpa dipengaruhi oleh dinamika politik semasa, secara konsisten dan telus.
“Ini bagi memastikan isu pembangunan, kewangan, dasar awam serta cabaran rentas bidang kuasa dapat dibincangkan, sekali gus diselesaikan secara lebih berkesan demi kepentingan negara,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata hubungan antara negeri dan Persekutuan perlu terus diperkasakan dalam kerangka Perlembagaan dan undang-undang.
Beliau berkata pengalaman Sarawak dalam memperjuangkan haknya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menunjukkan pentingnya hubungan yang baik, adil dan berasaskan kepercayaan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Hubungan Persekutuan-negeri mesti baik dalam kerangka perlembagaan dan undang-undang. Ini penting sebab parti politik boleh berubah, jadi yang mustahak adalah terus memastikan ada perubahan institusi, perubahan struktur kerana jika sesebuah negeri itu kuat, Malaysia akan menjadi kuat. Jika negeri menjadi kaya, Malaysia (juga) akan menjadi kaya,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Mengenai Perhubungan Negeri dan Persekutuan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Gooi Hsiao Leung berkata hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan perlu diperkukuh menerusi pendekatan berasaskan institusi serta mekanisme yang lebih mantap bagi memastikan kerjasama antara negeri diperkasa tanpa dipengaruhi perubahan politik.
Beliau berkata antara isu yang dibincangkan pada forum tersebut termasuk keupayaan negeri melaksanakan projek pembangunan dan infrastruktur, kuasa yang diperuntukkan kepada negeri di bawah Perlembagaan serta keperluan memastikan peruntukan kewangan yang mencukupi disalurkan bersama tanggungjawab yang diberikan.
Forum anjuran Penang Institute bersama Jawatankuasa Pilihan Mengenai Perhubungan Negeri dan Persekutuan, DUN Pulau Pinang itu menghimpunkan wakil kerajaan negeri dari Pulau Pinang, Selangor, Perlis, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan federalisme serta usaha memperkukuh hubungan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

















Tinggalkan Balasan