KUALA LUMPUR, 18 April — Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyarankan supaya pihak berkaitan menjalankan sesi taklimat media secara berkala berhubung pelaporan isu penyelesaian sempadan darat sektor Sabah–Kalimantan Utara (Kaltara) bagi mengelakkan salah faham.
Beliau berkata langkah berkenaan perlu untuk memastikan maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada masyarakat, sekali gus mengelakkan sebarang kekeliruan akibat laporan yang tidak sahih.
“Saya mengalukan-alukan kenyataan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) semalam. Dalam isu ini, kementerian yang bertanggungjawab ialah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan saya difahamkan sesi taklimat telah dibuat dengan beberapa media.
“Tetapi, saya akan sarankan supaya taklimat secara berkala dan kerap diadakan supaya maklumat yang tepat dapat disampaikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Datum bersempena dengan Festival Seni Bina Kuala Lumpur 2026 di The Linc KL, di sini hari ini.
Beliau berkata isu berkenaan turut melibatkan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dari segi teknikal persempadanan serta perkiraan perbatasan negara.
Dalam pada itu, Fahmi turut mengambil maklum pandangan Duta Besar Indonesia ke Malaysia Datuk Raden Mohammad Iman Hascarya Kusumo yang menyatakan terdapat laporan tidak tepat berhubung perkara itu sebelum ini.
“Jadi, di situ saya lihat ada keperluan untuk pihak NRES memastikan maklumat tepat sampai, terutamanya kepada media Malaysia supaya tidak timbul isu yang mungkin boleh mengakibatkan salah faham dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Semalam, ISWAMI menggesa organisasi media di kedua-dua negara agar memperkukuh naratif harmoni selain menyarankan Kerajaan Malaysia dan Indonesia menyediakan taklimat khas kepada pengamal media.
Presiden ISWAMI Malaysia Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Presiden ISWAMI Indonesia Asro Kamal Rokan dalam kenyataan bersama berkata pelaporan media harus mengutamakan sumber rasmi kedua-dua negara, di samping mengamalkan pendekatan berimbang, berhemat dan berteraskan konteks dalam setiap liputan.
















Tinggalkan Balasan