KUALA LUMPUR, 12 Okt — Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri penting bagi memastikan pembangunan negara dirancang secara inklusif, mampan dan menyeluruh demi manfaat rakyat.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penekanan itu disuarakan beliau semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-51 di Putrajaya, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan semua pihak berkaitan juga perlu terus menambah baik penyampaian perkhidmatan bagi memperkukuh ekosistem pelaburan serta memudahkan urusan rakyat.
Selain itu, beliau berkata mesyuarat turut meneliti pelbagai perkara berkaitan pembangunan fizikal negara termasuk perancangan guna tanah dan Rancangan Struktur Negeri, selaras dengan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).
Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata mesyuarat hari ini bersetuju supaya pemetaan geologi secara komprehensif dilaksanakan di laluan jalan raya dan kawasan lain bagi mengesan ancaman lubang benam.
Beliau berkata pelaksanaan pemetaan geologi itu perlu dilakukan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.
“Pelbagai agenda dibincangkan dalam MPFN ke-51 petang ini dan yang menjadi perhatian saya berkenaan isu atau ancaman lubang benam.
“Perhatian serius perlu diambil terutama elemen penilaian risiko dan keupayaan mengesan ancaman sinkhole (lubang benam), kerana ia melibatkan soal nyawa, keselamatan dan elemen kerugian,” katanya dalam hantaran Facebook malam ini.













Tinggalkan Balasan