Malaysia, Jordan Teroka Kerjasama Teknologi Tinggi, Pembangunan Jurutera Mahir – Anwar

PUTRAJAYA, 12 Okt — Malaysia dan Jordan berhasrat memperluas kerjasama strategik dalam pembangunan teknologi tinggi, khususnya industri semikonduktor serta pendidikan dan latihan teknikal berteknologi maju bagi melahirkan lebih ramai jurutera dan tenaga mahir untuk memenuhi keperluan industri masa hadapan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu antara fokus utama pertemuan beliau dengan Raja Jordan Raja Abdullah II, yang mengadakan Lawatan Negara dua hari ke Malaysia atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Beliau berkata pertemuan berkenaan membuka ruang kepada kedua-dua negara memperhalusi usaha memperkukuh hubungan strategik, khususnya dalam pendidikan tinggi, pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, teknologi baharu serta pembinaan ekosistem semikonduktor.

“Turut disentuh ialah usaha memperluas hubungan perdagangan dan pelaburan, termasuk potensi perjanjian perdagangan bebas (FTA), penstrukturan semula tarif serta pengukuhan rantaian bekalan serta kerjasama dalam sektor tenaga, pengangkutan, industri halal dan pelancongan,” kata beliau dalam hantaran Facebook hari ini.

Perdana Menteri berkata beliau dan Raja Abdullah II turut bertukar-tukar pandangan mengenai situasi geopolitik di Asia Barat, khususnya perkembangan di Palestin dan Syria serta implikasinya terhadap keselamatan dan kestabilan serantau.

Anwar berkata beliau dan Raja Abdullah II senada mengenai keperluan mendesak untuk menghentikan kekejaman terhadap rakyat Palestin, termasuk keganasan dan pencabulan hak yang berterusan di Baitulmuqaddis serta Tebing Barat.

“Saya menegaskan bahawa Malaysia akan terus konsisten memperjuangkan hak rakyat Palestin, di samping memperkukuh penyaluran bantuan kemanusiaan, khususnya kepada penduduk Gaza,” kata beliau.

Anwar berkata Raja Abdullah II turut menyatakan penghargaan terhadap pendirian dan peranan Malaysia dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

Beliau turut berharap pertemuan itu menjadi wahana untuk mengangkat hubungan Malaysia-Jordan ke tahap yang lebih bermakna, bukan sahaja menerusi kerjasama ekonomi dan teknologi, tetapi juga atas landasan kemanusiaan, keamanan dan keadilan sejagat.

Terdahulu, Raja Abdullah II menerima menghadap Perdana Menteri di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan meluangkan masa kira-kira 30 minit membincangkan usaha memperkukuh persahabatan erat dan hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara Malaysia dengan Jordan.

Kunjungan Raja Abdullah II ini merupakan lawatan kedua baginda ke Malaysia sejak Mei 2008, ketika kedua-dua negara memperingati lebih enam dekad hubungan diplomatik yang terjalin pada 1965.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dengan Jordan mencecah RM993.4 juta pada 2025, meningkat 15.2 peratus berbanding 2024. Perdagangan terus mencatat rekod momentum dari Januari hingga Ogos 2026, dengan pertumbuhan lapan peratus kepada RM740.7 juta berbanding tempoh sama tahun lepas.