KUALA LUMPUR, 7 Mei — Malaysia perlu melangkah lebih jauh daripada sekadar menerima atau menjadi saluran inovasi luar dengan mencipta identiti serta pencapaian sendiri dalam bidang penemuan perubatan di peringkat global, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata bagi menempatkan negara dalam peta global penemuan perubatan, negara perlu memperkasakan modal insan, mempergiat dan memperluas rangkaian kerjasama serta memperkukuh ekosistem yang mampan dan berdaya saing dalam semua aspek penyelidikan.
“Saya percaya peralihan daripada menjadi pengguna sains kepada penyumbang global adalah penting dalam perjalanan Malaysia ke arah menjadi negara penyelidikan global yang dipercayai.
“Bagi memastikan kita dapat mencapai aspirasi yang ditetapkan, kita perlu terus memperkukuh sumber di pusat penyelidikan dengan menambah baik kemudahan, sistem operasi serta sokongan penting kepada penyelidikan seperti Penyelaras Kajian.
“Infrastruktur yang kukuh bukan satu pilihan, sebaliknya asas penting untuk memastikan integriti dan kualiti penyelidikan saintifik,” katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian CRM (Penyelidikan Klinikal Malaysia) Trial Connect Conference 2026, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CRM Dr Akhmal Yusof, Ketua Eksekutif Agensi Farmaseutikal dan Peranti Perubatan Jepun Dr Yasuhiro Fujiwara, dan Pakar Onkologi serta Saintis Perubatan Universiti Texas MD Anderson Cancer Center, Amerika Syarikat Dr Timothy Yap.
Sementara itu, Dzulkefly berkata ekosistem penyelidikan klinikal negara ketika ini digerakkan oleh lebih 3,200 tenaga profesional mahir dalam industri berkenaan, mencerminkan tenaga kerja yang menjadi nadi utama kemajuan negara dalam bidang berkenaan.
Sebanyak 30 peratus penyelidik utama yang dinamakan dalam Roll of Honour Malaysia pada tahun lepas adalah lantikan baharu, yang disifatkan sebagai lambang kejayaan perancangan penggantian serta sokongan institusi yang kukuh.
Beliau berkata kerjasama amat penting dalam membina ekosistem penyelidikan klinikal yang berdaya tahan dan bertaraf dunia, khususnya ketika mendepani ketidaktentuan geopolitik ketika ini.
CRM turut menyumbang secara signifikan kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) negara selain mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi setiap tahun.
Persidangan bertemakan “The Rise of Asia in Clinical Trials” itu menghimpunkan lebih 1,100 peserta mewakili lebih 150 organisasi dari 20 negara termasuk pemimpin penyelidikan klinikal, organisasi antarabangsa dan agensi nasional di seluruh Asia Tenggara serta rantau Asia.
Pada majlis itu, Dzulkefly turut melancarkan edisi terkini Garis Panduan Amalan Klinikal Baik Malaysia, sekali gus mengukuhkan komitmen negara dalam mengekalkan standard antarabangsa serta memastikan kualiti terbaik dalam pelaksanaan ujian klinikal.
















Tinggalkan Balasan