KANGAR, 5 Sept — Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah mengingatkan peniaga makanan di negeri ini supaya mengenakan harga berpatutan dalam usaha memastikan pelancong terus memilih Perlis sebagai destinasi pelancongan, sekali gus membantu melonjakkan ekonomi melalui sektor berkenaan.
Baginda bertitah peniaga perlu memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelancong melalui penawaran harga tersebut selain menjaga kualiti masakan supaya sentiasa sedap.
“Makanan mestilah dihidang dengan sedap dan harga berpatutan…saya selalu beritahu Yang Amat Berhormat Menteri Besar (Perlis) dan Yang Berhormat lain supaya nasihat peniaga kita jangan menaikkan harga sesuka hati.
“Saya tahu orang meniaga nak untung tetapi biarlah harga berpatutan,” titah baginda ketika berkenan merasmikan Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026 di Dataran Kampung Wai, Kuala Perlis d sini malam tadi.
Hadir sama Menteri Besar Abu Bakar Hamzah.
Sementara itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah pesta air mempunyai nilai sejarah dan warisan tersendiri kerana tradisi perlumbaan perahu dan kehidupan masyarakat nelayan serta hubungan rakyat dengan sungai dan laut merupakan sebahagian identiti Kuala Perlis yang wajar dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
“Saya menyambut baik usaha mengangkat pesta ini ke peringkat antarabangsa. Saya berharap ia terus berkembang sebagai acara pelancongan, sukan dan warisan bertaraf antarabangsa tanpa menghilangkan akar tradisi dan jati diri masyarakat tempatan,” titah baginda.
Baginda berharap pesta air itu turut menjadi platform memperkenalkan makanan, kraf, seni budaya serta hasil komuniti Perlis kepada pengunjung dari dalam dan luar negara dengan segala khazanah alam, sejarah, budaya dan keunikan masyarakat Perlis hendaklah diketengahkan secara bijaksana agar menjadi kekuatan dan identiti pelancongan negeri.
Dalam pada itu, Raja Perlis mengharapkan pembangunan pelancongan di Kuala Perlis dapat memberikan limpahan ekonomi secara langsung kepada rakyat khususnya melalui peluang perniagaan, peningkatan pendapatan serta penglibatan usahawan dan komuniti tempatan.
“Saya juga berharap aspek kebersihan, keselamatan dan kelestarian alam sekitar sentiasa diberikan perhatian. Sungai, muara dan perairan Kuala Perlis merupakan khazanah bersama yang perlu dijaga agar terus indah dan lestari,” titah baginda.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah rakyat hendaklah terus menjadi pemilik, penggerak dan penerima manfaat daripada pembangunan pelancongan negeri.
Pesta air tahun ini dianjurkan dua fasa, iaitu fasa pertama berlangsung semalam hingga esok manakala fasa dua dari 18 Sept hingga 20 Sept.
















Tinggalkan Balasan