PUTRAJAYA, 4 Sept — Durian segar Malaysia berpotensi mendapat pelepasan kastam di China dalam tempoh tiga hingga empat jam menerusi cadangan mekanisme laluan pantas yang diterokai Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), China Henan Aviation Group Co Ltd (CHAG) dan Tropika Makmur Manufacturing Sdn Bhd (TMM).
MAHB dalam kenyataan hari ini memaklumkan model “pemeriksaan semasa ketibaan dan pelepasan selepas pematuhan” yang dicadangkan di bawah KUL-CGO Smart Durian Fast Track akan membolehkan keseluruhan proses, bermula daripada ketibaan pesawat sehingga urusan dokumentasi dan pengambilan kargo, diselesaikan dalam tempoh hanya tiga hingga empat jam.
Inisiatif itu diteroka menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh ketiga-tiga pihak berkenaan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) hari ini.
MAHB memaklumkan inisiatif itu bertujuan membolehkan pergerakan durian Malaysia dan produk pertanian lain yang sensitif terhadap masa diuruskan dengan lebih pantas, jelas dan diselaraskan lebih baik antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Zhengzhou Xinzheng (CGO).
“Smart Durian Fast Track akan meneroka penambahbaikan yang meliputi aspek pengendalian dan pemeriksaan, akses zon bebas, penyelarasan kastam serta permit dan pensijilan,” katanya.
Bagi langkah seterusnya, kedua-dua lapangan terbang itu akan menggunakan Malaysia Durian and Tropical Fruit Export Centre (MADTEC) sebagai entiti perintis untuk meneroka secara bersama penubuhan Smart Durian Fast Track.
MAHB memaklumkan inisiatif itu melibatkan pembangunan koridor dan platform khusus bagi mengoptimumkan pengangkutan rentas sempadan serta penyelesaian logistik rantaian sejuk untuk durian segar Malaysia.
Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani berkata kerjasama itu menyatukan ekosistem lapangan terbang, penerbangan dan perdagangan pertanian.
“Melalui kerjasama ini, kami menyatukan ekosistem lapangan terbang, penerbangan dan perdagangan pertanian bagi membolehkan produk makanan mudah rosak Malaysia bergerak melalui rantaian bekalan dengan lebih cekap.
“Smart Durian Fast Track, KLIA akan berfungsi sebagai landasan ujian praktikal untuk mempertingkatkan perjalanan kargo yang lebih lancar dalam Reformasi Kargo Udara yang diterajui Kementerian Pengangkutan secara lebih menyeluruh,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi TMM Datuk Suffian Awang berkata eksport durian Malaysia telah berkembang menjadi industri bernilai berbilion ringgit, mencecah RM1.51 bilion pada 2023, dengan China menyumbang RM1.19 bilion.
“Dengan menyediakan platform bersama yang menyatukan proses pengendalian, logistik dan eksport, kami berharap dapat mengurangkan halangan untuk memasuki pasaran, memperluas penyertaan serta membolehkan lebih ramai pengusaha dan pedagang durian Malaysia mengakses pasaran China dengan lebih cekap,” katanya.

















Tinggalkan Balasan