PRN: PKR Bertanding 20 Kerusi Di Johor, 16 Di Negeri Sembilan – Fuziah

KUANTAN, 14 Jun — PKR akan bertanding sekurang-kurangnya 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Setiausaha Agung PKR Datuk Dr Fuziah Salleh berkata bagi PRN Negeri Sembilan pula PKR dijangka bertanding 16 kerusi DUN.

“Pembahagian kerusi dah dimuktamadkan, saya difahamkan 16 di Negeri Sembilan, manakala minimum 20 kerusi di Johor,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) bersempena dengan pembukaan cawangan baharu Pasar Raya Pantai Selamat, di sini hari ini.

Pakatan Harapan (PH) sebelum ini mengumumkan akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN Johor dengan DAP mengesahkan bakal meletakkan calon di 17 kerusi.

Bagi Negeri Sembilan, media melaporkan PH akan bertanding semua 36 kerusi DUN merangkumi 16 kerusi oleh PKR, diikuti DAP (11) dan Amanah (sembilan).

PRN Johor dan Negeri Sembilan masing-masing ditetapkan pada 11 Julai serta 1 Ogos depan.

Mengulas lanjut, Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berpandangan kadar keluar mengundi yang tinggi berpotensi memberikan kelebihan kepada PH pada PRN Johor nanti.

Menyentuh mengenai kemunculan parti politik baharu sejak kebelakangan ini, beliau berharap semua pihak dapat mengamalkan budaya kempen secara sihat dengan mengetengahkan tawaran yang memberikan manfaat kepada rakyat.

“Bawalah kebaikan yang boleh ditawarkan, bukan memburukkan parti lain. Itulah cara kalau kita nak meraikan demokrasi. Semoga parti terbaik akan menang,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, Fuziah berkata beliau akan mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan supaya kuota bahan api di bawah program BUDI MADANI (BUDI95) bagi pengamal media ditingkatkan.

Mengenai statistik PJRM, Fuziah memaklumkan sebanyak 13,692 program dilaksanakan di seluruh negara bagi tempoh Januari sehingga semalam dengan 974 daripadanya dianjurkan di Pahang.