KUALA LUMPUR, 14 Jun — Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memperluas intervensi pekerjaan dan kemahiran bagi membantu pekerja terjejas akibat kehilangan pekerjaan serta memperkukuh daya tahan pasaran buruh negara dalam menghadapi krisis geopolitik global.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan berkata langkah itu diambil susulan peningkatan kes kehilangan pekerjaan (LOE) yang direkodkan dalam beberapa sektor ekonomi sepanjang lima bulan pertama tahun ini.
Beliau berkata berdasarkan statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), sebanyak 38,953 individu direkodkan hilang pekerjaan bagi tempoh Januari hingga Mei lepas dengan sebahagian besar berumur 25 hingga 39 tahun.
“Mengikut jantina, lelaki mencatatkan 23,536 kes atau 60.4 peratus, manakala wanita merekodkan 15,417 kes atau 39.6 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramanan berkata kehilangan pekerjaan sepanjang tempoh itu tertumpu dalam beberapa sektor utama termasuk pembuatan, perdagangan borong dan runcit serta pembaikan kenderaan bermotor, selain aktiviti pentadbiran dan khidmat sokongan.
Beliau berkata situasi itu sebahagiannya dipengaruhi langkah penstrukturan semula organisasi dan pelarasan operasi perniagaan yang dilaksanakan syarikat bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran ekonomi semasa.
Beliau berkata walaupun berdepan cabaran tersebut, pasaran buruh Malaysia kekal menunjukkan ketahanan yang kukuh dengan jumlah tenaga buruh negara mencecah 17.33 juta orang pada April lepas, manakala kadar pengangguran kekal rendah pada 3.0 peratus.
“Kadar penyertaan tenaga buruh (LFPR) pula berada pada 70.9 peratus, merangkumi 82.9 peratus bagi lelaki dan 57.3 peratus bagi wanita. Prestasi ini mencerminkan asas pasaran buruh yang masih kekal stabil dan berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata KESUMA terus memantau perkembangan ekonomi dan geopolitik global yang berpotensi menjejaskan sektor tenaga dan rantaian bekalan antarabangsa bagi membolehkan intervensi awal dilaksanakan serta mengurangkan risiko terhadap pekerjaan.
Katanya, peningkatan kes kehilangan pekerjaan menuntut usaha mempercepat peralihan tenaga kerja ke sektor yang mempunyai permintaan lebih tinggi, khususnya dalam kalangan golongan muda dan berkelayakan yang terjejas.
Sehubungan dengan itu, pekerja digalakkan memanfaatkan platform seperti Labour Market Exchange (LMX) dan MYFutureJobs Galaxy bagi mendapatkan maklumat pasaran buruh yang lebih komprehensif serta merancang laluan kerjaya bersesuaian.
Bagi memastikan sokongan menyeluruh, Ramanan berkata KESUMA melaksanakan pelbagai inisiatif berpaksikan tiga fokus utama, dengan tumpuan pertama ialah peralihan dan sokongan kerjaya menerusi platform MYFutureJobs.
“Ia bertujuan menghubungkan pekerja LOE dengan jawatan bersesuaian, selain penggunaan data pasaran buruh melalui LMX dan MYFutureJobs Galaxy bagi membantu pekerja membuat keputusan kerjaya yang lebih tepat.
“Fokus kedua ialah pelaksanaan program peningkatan kemahiran oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk membina kemahiran baharu atau meningkatkan kemahiran sedia ada selaras dengan keperluan sektor yang berkembang,” katanya.
Fokus ketiga pula melibatkan intervensi awal bagi sektor kritikal melalui usaha mengenal pasti sektor yang berpotensi terjejas supaya pekerja dapat menyesuaikan diri dengan lebih cepat, memanfaatkan peluang peralihan kerjaya dan memperkukuh daya saing mereka.
“KESUMA akan terus memantau trend pasaran buruh secara berterusan dan bekerjasama dengan pihak berkepentingan bagi merangka intervensi menyeluruh untuk mengurangkan impak kehilangan pekerjaan serta memastikan setiap pekerja yang terjejas mendapat sokongan sewajarnya,” katanya.

















Tinggalkan Balasan