Tiada Had Jumlah Kemasukan Pelajar Ke Institut Pengajian Tinggi – Zambry

KOTA KINABALU, 19 Apr — Tiada had khusus ditetapkan bagi jumlah kemasukan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) ke institusi pengajian tinggi sebaliknya mereka diberi ruang seluas-luasnya untuk melanjutkan pengajian mengikut minat serta kelayakan masing-masing.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata sejumlah 100,000 pelajar lepasan SPM dan 75,000 pelajar STPM tahun ini berpeluang melanjutkan pengajian bukan sahaja di universiti malah dalam bidang kemahiran seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Kita tidak ada sasaran tertentu kerana kita memberikan ruang seluas-luasnya kepada mereka… kita pastikan mereka yang mempunyai kelulusan ini diagihkan mengikut kelayakan… asalkan mereka berminat untuk melanjutkan pelajaran,” katanya kepada pemberita di sini hari ini ketika menghadiri Program Jom Masuk Universiti Zon Sabah II di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini.

Program itu, yang berlangsung selama dua hari dan berakhir hari ini, turut dihadiri Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin serta Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Mansor.

Zambry juga berkata pelajar boleh memilih sama ada menyambung pelajaran di peringkat sijil, diploma atau ijazah sesuai dengan minat dan keperluan industri semasa.

Mengulas mengenai program itu, beliau berkata ia dapat memberi panduan kepada pelajar tentang peluang dan perspektif lebih luas berkaitan kursus yang ingin diambil kerana pempamer bukan hanya terdiri daripada institusi pengajian awam tetapi juga swasta dengan dipantau oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Zambry berkata program itu mendapat sambutan menggalakkan apabila kira-kira 12,000 orang hadir pada hari pertama sekali gus mencapai matlamatnya untuk mendekati pelajar berkaitan peluang dalam pendidikan.

“(Program Jom Masuk Universiti) pada 25 dan 26 April ini adalah program terakhir yang kita adakan di Perak… secara keseluruhannya, saya melihat program ini dapat memberi panduan kepada pelajar tentang peluang yang ada di hadapan mereka,” katanya.

Beliau turut merasmikan Dapur Siswa MADANI di Kolej Kediaman Tun Mustapha sebagai inisiatif kebajikan kepada golongan mahasiswa dalam kalangan B40 dengan menyediakan makanan asas secara percuma.

Seramai 40 sukarelawan dilantik mengendalikan dapur berkenaan yang dilengkapi peralatan memasak untuk menyediakan makanan setiap hari sebagai usaha memastikan tiada pelajar kelaparan selain menyokong matlamat Zero Hunger dan kesihatan yang baik.